suria

Penjenayah Paling Dikehendaki Di AS Ditangkap FBI

LOS ANGELES: Pihak berkuasa Amerika mengumumkan pada Khamis bahawa mereka akhirnya telah berjaya menangkap penjenayah paling dikehendaki di negara itu James "Whitey" Bulger, yang wataknya telah dijadikan filem berjudul "The Departed" lakonan Jack Nicholson pada tahun 2006.

Bulger diburu polis dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sejak 1995 kerana terlibat dalam pelbagai bentuk jenayah dan peras ugut.

Menurut FBI hasil maklumat yang diperolehi daripada orang-ramai menerusi beberapa siri kempen yang dijalankan akhirnya mereka telah berjaya menahan Bulger, 81, bersama teman wanitanya Catherine Greig, 60, tanpa sebarang halangan dan masalah.

Jelas FBI lagi, kedua-duanya ditahan di sebuah rumah di Santa Monica, California awal Rabu petang.

Bulger, turut dikehendaki kerana disyaki terlibat dalam 19 kes pembunuhan.

Filem "The Departed," arahan pengarah terkenal Martin Scorsese turut dibintangi oleh Leonardo DiCaprio dan Matt Damon.

Adalah difahamkan intipan FBI ke atas teman wanita Bulger telah membawa kepada penangkapannya. FBI turut menawarkan hadiah berjumlah AS$100,000 ke atas sesiapa yang dapat memberi maklumat mengenai teman wanita Bulger dan hadiah wang tunai AS$2 juta kepada mereka yang dapat memberi maklumat sehingga tertangkapnya penjenayah besar itu.

Hadiah wang tunai itu adalah yang terbesar yang pernah ditawarkan oleh FBI.

Bulger tersenarai dalam 10 penjenayah paling dikehendaki di Amerika.

Artikel Lain