Indonesia Henti Sementara Kirim Tenaga Kerja Ke Arab Saudi Mulai Ogos - Dunia | mStar

Indonesia Henti Sementara Kirim Tenaga Kerja Ke Arab Saudi Mulai Ogos

JAKARTA: Indonesia pada Khamis mengumumkan keputusan menghentikan sementara pengiriman tenaga kerja Indonesia ke Arab Saudi mulai 1 Ogos ini setelah seorang pembantu rumah dari Indonesia menjalani hukuman pancung di Arab Saudi pada Sabtu lepas kerana kesalahan membunuh wanita majikannya.

Moratorium itu akan dikuatkuasakan sehingga kedua-dua negara itu dapat mewujudkan kesepakatan melalui satu perjanjian yang menjamin perlindungan dan pemberian hak kepada tenaga kerja Indonesia.

Indonesia juga akan menetapkan satu dasar nasional mengenai pengiriman tenaga kerja negara itu ke luar negeri di masa depan, setelah satu kajian mengenainya selesaikan dilakukan oleh sebuah pasukan khas.

Presiden Susilo Bambang Yudhoyono yang mengumumkan keputusan itu semasa berucap kepada rakyat menerusi siaran langsung oleh beberapa steten televisyen hari ini, membantah keras tindakan Arab Saudi melaksanaan hukuman mati terhadap pembantu rumah bernama Ruyati itu tanpa memberitahu pihak Indonensia kerana ia jelas melanggar prosedur antarabangsa.

"Mulai hari ini langkah mengetatkan pengiriman tenaga kerja Indonesia telah dilaksanakan. Kita mengawasi lembaga pengirim tenaga kerja Indonesia. Saya juga meminta warganegara Indonesia patuh menyokong moratorium ini dan tidak berusaha sendiri ke sana," katanya.

Dalam penjelasan kepada rakyat itu, Yudhoyono turut meminta Menteri Luar, Dr Marty Natalegawa, Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Patrialis Akbar, dan Menteri Tenaga Kerja dan Transmigrasi, Muhaimin Iskandar, untuk menjelaskan tindakan-tindakan yang telah diambil oleh kerajaan bagi cuba untuk menyelamatkan Ruyati serta warganegara Indonesia lain di luar negara yang sedang terancam hukuman mati.

Pada masa ini terdapat 23 warganegara Indonesia yang terancam hukuman mati di Arab Saudi dan sejumlah lagi di Malaysia.

Pelaksanaan hukuman pancung terhadap Ruyati oleh Arab Saudi itu telah mengundang kecaman dan kritikan pelbagai pihak di Indonesia, yang menilai kerajaan gagal memberi perlindungan sewajarnya kepada warga negara Indonesia di luar negara, yang diancam hukuman mati.

Kerajaan Indonesia yang hanya mengetahui mengenai pelaksanaan hukuman itu melalui laporan media, sebelum ini telah menghantar nota bantahan kepada Arab Saudi melalui Duta Besar negara itu di sini.

Selain moratorium itu terhadap Arab Saudi, Yudhoyono berkata Indonesia juga sedang membuat penilaian terhadap beberapa negara lain di Timur Tengah mengenai layanan dan perlindungan terhadap tenaga kerja Indonesia di negara terbabit sebelum membuat keputusan sama ada akan turut melaksanakan moratorium serupa.

"Keputusan yang ketiga ialah, hari ini saya akan mengutus surat kepada Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz, yang berisi tiga hal, pertama hubungan Indonesia dan Arab Saudi sebenarnya dalam keadaan baik, kecuali kes dan persoalan tenaga kerja Indonesia.

"Kedua saya juga akan menyampaikan penghargaan atas diluluskan permohonan kami terhadap kes hukuman terhadap tenaga kerja Indonesia, dan terbukti ratusan daripada mereka mendapat pembebasan tanpa syarat. Secara moral saya wajib mengucapkan terima kasih.

"Tetapi yang ketiga, surat saya adalah berupa keprihatinan yang mendalam dan bantahan saya selaku ketua negara Indonesia atas pelaksanaan hukuman ke atas Almarhumah Ruyati, yang sekali lagi melanggar kelaziman dan prosedur antarabangsa dengan tidak memberitahu pihak Indonesia," katanya.

Yudhoyono turut mengumumkan pembentukan pasukan petugas khas bagi pembelaan warganegara Indonesia yang terancam hukuman mati di luar negara selain mewujudkan atase undang-undang dan hak asasi manusia di kedutaan-kedutaan besar Indonesia yang mempunyai ramai tenaga kerja Indonesia.

Beliau juga meminta rakyat memahami bahawa semua negara mempunyai sistem undang-undang sendiri yang wajib dipatuhi semua orang termasuk warga negara asing, sebagaimana juga Indonesia mahu warga negara asing mematuhi sistem undang-undangnya.

"Saya sering mendapatkan permintaan dari banyak negara, jawapan saya supremasi undang-undang di atas segalanya. Hampir semua permintaan untuk pengampunan dan pembebasan daripada hukuman mati itu saya tolak, ini demi keadilan.

"Kalau ada masalah atau hukuman yang berat, saudara kita mendapat hukuman mati, mengapa warga negara lain lantas kita berikan pengampunan," katanya.

Yudhoyono juga berharap Indonesia dapat mewujudkan lebih banyak peluang kerja kepada rakyatnya di masa depan dengan kepesatan pertumbuhan ekonomi sekarang dan hanya mengeksport tenaga kerja berketrampilan, berpengetahuan dan berdaya saing di peringkat global di masa akan datang. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

WKB 2030 sasar taraf hidup lebih baik untuk rakyat di seluruh negara

WKB2030 adalah pelan 10 tahun yang diperkenalkan kerajaan dalam memastikan Malaysia terus berkembang dengan mampan.

default image

Perahu naga bakal 'membelah' Tasik Putrajaya, 90 pasukan korporat berentap rebut gelaran juara!

SEMUA peserta nampaknya tidak sabar untuk menyahut cabaran bagi merebut gelaran juara perlumbaan perahu naga di Tasik Putrajaya.

default image

Ketuhar Panasonic Big Cubie memang power! Memasak kini lebih mudah, hidangan lebih sihat dan lazat

ANDA mahu memasak hidangan dalam waktu singkat? Panasonic Big Cubie boleh membantu.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

Artikel Lain

Nasharudin Mat Isa akan didakwa Selasa