suria

Wakil Tetap Malaysia Yang Baru Akan Membida Kerusi Tidak Tetap Dalam UNSC

NEW YORK: Wakil Tetap Malaysia yang baru ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York akan berusaha mendapatkan kerusi tidak tetap bagi Malaysia dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC).

Datuk Hussein Haniff, 56, yang menyerahkan watikah pelantikannya kepada Setiausaha Agung PBB Jeneral Ban Ki Moon pada 13 Mei, 2011, menggantikan bekas Wakil Tetap Malaysia, Datuk Hamidon Ali, yang telah bersara daripada perkhidmatan itu dan kembali ke tanah air.

Hussein, yang berpengalaman luas dalam bidang diplomasi pelbagai hala akan berusaha mendapatkan kerusi tidak tetap itu pada UNSC bagi 2015/16.

"Malaysia akan berusaha mendapatkan kerusi (tidak tetap) itu dan kami akan cuba mendapatkannya," katanya semasa ditemu bual Bernama di pejabatnya di sini.

Hussein yang pernah berkhidmat di pejabat misi tetap Malaysia di New York dari 1987 hingga 1994, bukannya asing di sini, sepertimana katanya, "anda berpeluang berjumpa kenalan dan rakan sekerja lama dari pelbagai negara di dunia yang anda pernah jumpa semasa bertugas di pelbagai tempat".

Sebelum ditukarkan ke New York, Hussein adalah Duta Besar Malaysia ke Belgium dan Luxembourg, serta sebagai ketua misi Malaysia ke Kesatuan Eropah (EU) dari Ogos 2008 hingga April 2011.

Hussein turut menceritakan pengalamannya ketika bertugas dengan pelbagai organisasi antarabangsa semasa perbualan kami berkisar mengenai hubungan pelbagai hala.

Semasa menjadi Duta ke Austria antara Ogos 2000 dan Januari 2005, beliau pada masa yang sama turut menjadi Wakil Tetap Malaysia ke PBB dan organisasi antarabangsa lain di Vienna.

Sepanjang tempoh itu, beliau juga adalah Gabenor Malaysia ke Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).

"Pelbagai pengalaman yang diperoleh semasa menjalankan tugas pelbagai hala di Brussels dan Vienna akan dapat membantu saya di New York...juga, saya ada ternampak beberapa kenalan lama yang telah menjadi wakil tetap di New York, termasuk beberapa dari Eropah. Dunia ini kecil, anda tahu," kata Hussein.

Selain usaha Malaysia untuk mendapatkan kerusi tidak tetap UNSC, isu lain yang turut menjadi perhatian Malaysia ialah Jawatankuasa Ketiga, Perhimpunan Agung PBB, yang bertumpu pada isu sosial, kemanusiaan dan kebudayaan, termasuk isu hak asasi manusia.

Jawatankuasa Ketiga juga membincangkan isu kemajuan wanita, perlindungan kanak-kanak, isu pribumi, layanan pelarian, penggalakkan kebebasan menerusi penghapusan diskriminasi perkauman dan bangsa, dan hak penentuan nasib sendiri.

"Malaysia berminat dengan Jawatankuasa Ketiga kerana secara kebetulan, merupakan satu daripada beberapa negara ASEAN yang mempunyai Suruhanjaya Hak Asasi Manusia yang menumpukan pada isu-isu hak asasi manusia," jelas Hussein.

Malaysia, katanya juga menjalin kerjasama dengan Indonesia dalam Jawatankuasa Pertama yang menumpukan pada isu pelucutan senjata dan keselamatan antarabangsa.

Duta itu turut merujuk kepada ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung tahun lepas yang menyentuh mengenai Pergerakan Golongan Sederhana Global.

"Kenapa suara golongan sederhana tidak didengar dan kenapa hanya golongan ekstremis? Ini merupakan isu yang kami mahu bangkitkan dan mendapatkan sokongan daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Ini bukan hanya meliputi golongan sederhana Islam tetapi juga agama lain.

"Kita tidak menyokong pembunuhan orang tidak bersalah tetapi kita juga perlu mengkaji punca yang membawa kepada ekstremisme.

"Proses damai Timur Tengah, pada pandangan kami, adalah isu utama dan perlu diberi keutamaan," katanya.

Hussein turut mengimbas pengalamannya di Brussels di mana beliau terlibat dalam rundingan PCA (perjanjian kerjasama perkongsian) dan FTA (perjanjian perdagangan bebas) dengan EU. Hasrat EU untuk menandatangani PCA dan FTA dengan Malaysia perlu diberi perhatian utama, mengambil kira kedudukan Malaysia, selepas Singapura, ialah rakan perdagangan kedua terbesar EU di kalangan negara ASEAN.

Hussein, luluasan ijazah sarjana muda ekonomi daripada Universiti Malaya, dan ijazah sarjana pentadbiran awam dari Universiti Harvard, menyertai Kementerian Luar pada 1979 sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Asia Tenggara. Beliau juga pernah berkhidmat di Manila dari 1982 hingga 1985.

Duta itu yang telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki, berkata isterinya juga mempunyai jadual yang sibuk, aktif dalam persatuan Perwakilan dan yang memberikan sokongan bernilai daripada segi menganjurkan majlis dan acara sosio budaya yang lain. - BERNAMA

Artikel Lain