suria

Pemulihan Selatan Thailand Mungkin Perlukan Masa

BANGKOK: Biar siapapun yang menang dalam pilihan raya umum Thailand 3 Julai ini, nasib rakyat negara itu di wilayah selatan khususnya di Pattani, Yala dan Narathiwat perlu diberi perhatian kerana luka di hati mereka memerlukan masa yang lama untuk diubati.

Semuanya akibat tindakan kerajaan terdahulu pimpinan Thaksin Shinawatra pada April 2004 yang menyebabkan 32 orang yang didakwa pemberontak, terbunuh selepas pihak berkuasa menyerbu masjid berusia 300 tahun, Krue Se, di Pattani.

Mohamad Wan Idris, imam Masjid Sultan Ismail Shah Kampung Parit Mukim Barahoum di Pattani, berkata sejak puluhan tahun rakyat di Selatan Thailand seakan-akan dipinggirkan jauh daripada pembangunan dan pendidikan sehingga menyebabkan ramai yang tidak menyukai kerajaan dan mereka diburu oleh pemerintah yang mengesyaki mereka sebagai pemberontak.

"Zaman saya kecil-kecil dulu, zaman 60-an, saya dengar orang tua-tua berkata kerajaan perintah secara tidak adil kerana banyak aspek keperluan tidak sampai ke orang Melayu di Pattani ini.

"Ketika itu, ramai orang di sekitar kawasan ini lari masuk ke hutan kerana diburu kerajaan, semuanya kerana kebanyakan keperluan antaranya pelajaran dan kemudahan asas, tidak mereka nikmati," katanya.

Mohamad Wan berkata demikian ketika ditemui Bernama selepas beramah-mesra dengan 16 wakil media dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Bangladesh, Pakistan dan India yang menyertai program Lawatan Suai Kenal Media ke Thailand minggu lepas.

Beliau lega kini keadaan amat berbeza di bawah pimpinan Perdana Menteri Abhisit Vejjajiva yang lebih cenderung menjalin hubungan erat dengan rakyat di Selatan Thailand yang kebanyakannya berketurunan Melayu.

Kerajaan sekarang berusaha gigih menambat hati rakyat di Selatan terutamanya dengan menghantar tentera untuk mengawal keamanan dan pegawai kerajaan untuk memberikan banyak kemudahan asas terutamanya kegiatan ekonomi, katanya.

"Sekarang ini, kerajaan hantar askar dan bagi peluang kami menternak ikan, ayam dan itik. Penduduk memang suka dengan bantuan yang diterima tetapi ada yang tidak jadi, ia memakan masa yang begitu lama untuk kerajaan kembali mendapat sokongan dan mengubati perasaan rakyat di Selatan Thailand," katanya.

Mengenai perjuangan mendapatkan autonomi pula, Ketua Kampung Parit, Nik Razali Nik Mat Amin, berkata daripada lima peratus sahaja daripada enam juta penduduk di Selatan Thailand inginkan autonomi.

"Kebanyakan mereka ini adalah golongan veteran yang masih terasa kesan zaman pemerintahan Sultan Ismail Shah ratusan tahun dahulu," katanya.

Bagaimanapun, menurut Nik Razali, apa yang dihajati kebanyakan penduduk di Selatan Thailand ialah status ekonomi yang lebih baik supaya hidup mereka lebih terjamin.

Katanya wakil kerajaan yang hadir ke Selatan akan bertanya dahulu kepada penduduk jenis bantuan yang mereka perlukan sebelum sebarang projek ekonomi dilaksanakan.

"Apa sahaja projek yang kerajaan ini buat, mereka akan bermesyuarat bersama penduduk kampung dahulu, diteliti dahulu kehendak penduduk sama ada mahukan kenderaan, jalan raya, jambatan atau sebagainya," katanya.

Kini, kerajaan sedang melaksanakan projek ternakan ikan keli dengan kolam kecil melibatkan semua penduduk kampung untuk meningkatkan taraf hidup mereka. Penduduk di Narathiwat, Yala, Songkhla, Pattani dan Satun akan menerima faedah dan manfaat melalui pelbagai kegiatan ekonomi mengikut keperluan mereka, katanya.

Mengenai kejadian tembak-menembak terutama di Yala, Narathiwat dan Pattani, Nik Razali berkata kebanyakannya adalah berunsur jenayah biasa seperti dadah, kecurian dan perselisihan faham akibat perniagaan.

"Jumlah yang melibatkan ketidakpuasan hati kepada kerajaan amat kecil," katanya.

Menyokong kenyataan itu ialah Ketua Pusat Sains Forensik Kem Tentera Ingkhayut Borihan di Pattani, Dr Porntip Rojanasunan, yang berkata siasatan forensik dalam kejadian serangan bom menunjukkan ada hubung kait dengan perbuatan jenayah antaranya penyeludupan dadah dan manusia.

"Jika ada kejadian tembak menembak, kami akan lakukan siastaan terperinci dengan sains forensik ke atas mayat dan lokasi kejadian serta semua sampel DNA akan kami kumpulkan.

"Keputusan biasanya menunjukkan ada unsur jenayah yang melibatkan dadah dan penyeludupan manusia tetapi tidak langsung melibatkan ketidapuasan hati kepada kerajaan," katanya ketika memberi penerangan situasi sebenar kejadian tembak-menembak di Selatan Thailand kepada wakil-wakil media di kem itu.

Dr Panitan Wattanayagorn, Timbalan Ketua Setiausaha kepada Perdana Menteri, berkata satu daripada langkah utama ke arah menjayakan agenda pemulihan ekonomi dan keselamatan di Selatan Tahiland ialah dengan mengukuhkan Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC).

Malahan, katanya, beberapa undang-undang yang khusus telah digubal untuk membolehkan penduduk di situ menyertai aktiviti yang dipelopori oleh SBPAC.

Katanya kerajaan akan menilai bagaimana pentadbiran tempatan di Pattani, Narathiwat, Yala, Songkhla dan Satun dapat mewujudkan perkhidmatan dan kemampuan berdasarkan kuasa mereka sendiri. - BERNAMA

Artikel Lain