suria

Monorel Buatan Scomi Di Mumbai Diuji Ogos Ini

NEW DELHI: Syarikat Malaysia, Scomi Engineering Bhd, akan memantau rapi ujian projek monorel Mumbai yang dijadualkan bermula Ogos ini.

Pesuruhjaya Lembaga Pembangunan Serantau Metropolitan Mumbai (MMRDA), Rahul Asthana berkata, ujian monrel berkenaan akan merupakan yang pertama dikendalikan bagi laluan Wadala-Mysore Colony sepanjang hampir 5 kilometer di Mumbai.

Asthana mengadakan pertemuan dengan rakan konsortium iaitu Scomi dan kumpulan kejuruteraan India Larsen & Toubro, yang terlibat dalam pembinaan fasa pertama monorel ebrkenaan dari Chembur ke Jacob Circle melalui Wadala.

Apabila siap kelak, syarikat-syarikat itu akan mengendalikan monorel bagi laluan sepanjang 20 kilometer untuk tempoh tiga tahun.

Monorel berkenaan dikenali sebagai "tren masa depan", memandangkan penduduk Mumbai amat berharap pengangkutan itu akan memberi kelegaan dan kemudahan kepada mereka daripada sistem kereta api yang sesak yang menjadi nadi pengangkutan kawasan itu.

Tren monorel satu landasan itu akan menyediakan kemudahan pengangkutan yang pantas dan pada kos yang rendah bagi mengatasi masalah kesesakan berkenaan.

Scomi Engineering Bhd meninjau pasaran India sejak liberalisasi ekonomi bermula di negara itu.

Scomi difahamkan berminat melanjutkan kontrak melangkaui tempoh awal tiga tahun.

Difahamkan juga pegawai Scomi telah bertemu pegawai kanan MMRDA dan menyarankan agensi itu melantik pengendali akan datang mendahalui tempoh tiga tahun tamat.

Scomi, yang turut meningkatkan kerjasama dalam dan luar India, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan syarikat perunding dan kontrak utama yang berpangkalan di India, Engineering Projects (India) Ltd (EPI), bagi projek monorel di India dan luar negara.

MoU berkenaan ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Scomi Group, Shah Hakim Zain dan Pengerusi dan Pengarah Urusan Engineering Projects (India) Ltd, S.P.S. Bakshi, disaksikan Vilasrao Deshmukh, Menteri Industri Utama dan Perusahaan Awam India.

Mengikut perjanjian berkenaan, Scomi akan bekerjasama dengan EPI sebagai konsortium "pilihan" untuk melaksanakan projek-projek yang terlibat dalam pembinaan monorel dan Sistem Pengangkutan Aliran Berkapasiti Tinggi di India dan luar negara.

Kedua-dua pihak berharap untuk meraih faedah daripada sinergi yang akan terhasil daripada kerjasama tersebut. EPI terkenal kerana melaksanakan lebih 480 projek pelbagai disiplin di India bernilai kira-kira US$1,175.46 juta dan 30 projek bernilai lebih US$782 juta di Iraq, Kuwait, Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu, Maldives, Bhutan dan Thailand. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Imam Ditembak Mati

Artikel Lain