suria

Wartawan Penyiaran Filipina Mangsa Pembunuhan Keempat Tahun Ini

MANILA: Seorang wartawan dan pengulas radio yang bersuara lantang serta kritikal telah ditembak mati - menjadikannya sebagai wartawan yang keempat mati dibunuh pada tahun ini sahaja di Filipina.

Superintenden Ronald Briones mengesahkan kematian Romeo Olea yang ditembak ketika sedang menunggang motosikal di satu laluan lebuhraya di sini.

Katanya, dua tembakan telah mengenai Romeo. Dia disahkan meninggal dunia setelah dua orang saksi membawa mangsa ke hospital.

Wartawan berusia 49 tahun itu berkhidmat untuk stesen radio DWEB-FM dan seringkali bersikap kritikal di dalam penyampaiannya.

Isterinya memberitahu polis, mangsa ada menerima ugutan bunuh beberapa hari lalu.

Hanya Iraq dan Somalia sahaja menjadi negara yang paling banyak mencatatkan kematian wartawan di dunia pada tahun ini. Filipina berada di tempat ketiga.

Bagaimanapun rekod menunjukkan sejak tahun 1986, 145 wartawan telah terbunuh di Filipina ketika menjalankan tugas.

Presiden Kesatuan Wartawan Filipina, Nestor Burgos Jr. berkata, dari 145 wartawan yang menjadi mangsa pembunuhan, lebih dari 100 berlaku sejak tahun 2001.

pada tahun 2009, sekurang-kurangnya 31 wartawan antara 57 orang yang dibunuh secara kejam di wilayah Selatan Filipina kerana perbalahan antara suku kaum yang berebut kuasa.

Mayat wartawan yang ke-32 sehingga sekarang tidak pernah ditemui oleh para penyiasat.

Ia adalah pembunuhan beramai-ramai yang paling kejam dalam sejarah negara itu.

Dalam kes Romeo, beliau dikenali sebagai pengkritik berbisa ke atas para ahli politik tempatan khususnya ke atas mereka yang dipercayai melakukan rasuah dan penyelewengan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain