suria

Mesir Mula Soal Siasat Suspek Perisik Israel

KAHERAH: Pihak Berkuasa Mesir, pada Isnin, memulakan siasatan ke atas seorang rakyat Israel yang disyaki mengintip untuk Agensi Perisikan Rahsia Mossad.

Ilan Grapel telah ditahan Ahad untuk tempoh 15 hari di sebuah hotel di tengah-tengah bandar ini untuk membolehkan pihak berkuasa menyiasat aktivitinya.

Berita mengenai penahanannya telah disiarkan sebagai laporan muka depan hampir kesemua akhbar utama Mesir.

Grapel, didakwa menyamar sebagai koresponden asing dan segala percakapannya melalui telefon dan gerak-gerinya telah diintip sebelum tangkapan dibuat.

Pihak berkuasa juga telah memperolehi gambar-gambarnya yang memakai pakaian seragam Tentera Israel.

Terdapat juga beberapa keping gambar yang menunjukkan Grapel sedang berdiri di Tahrir Square - tempat di mana rakyat Mesir mengadakan tunjuk perasaan sehingga membawa kejatuhan Presiden Hosni Mubarak.

Malah sekeping gambar yang disiarkan oleh akhbar harian Al-Ahram menunjukkan Grapel yang memegang mikrofon sedang berucap di dalam masjid ketika revolusi menentang Hosni sedang memuncak.

Kementerian Luar Israel dalam reaksi segeranya menegaskan bahawa sehingga kini, mereka tidak tahu menahu mengenai mana-mana anggota keselamatannya atau rakyatnya ditahan di Mesir atas dakwaan mengintip.

Bagaimanapun media massa di Israel telah memperkecilkan isu penahanan itu dengan berkata, adalah tidak masuk akal untuk negara itu mengirim seorang pengintip ke ibu negara Mesir pada saat dan ketika itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain