suria

Lelaki Bertindak Londeh Pakaian Memaksa Pesawat Berpatah Balik

MADRID: Seorang penumpang pesawat berbangsa Jerman yang sedang dalam perjalanan dari Madrid ke Frankfurt telah melucutkan kesemua pakaiannya sehingga bogel sekaligus memaksa juruterbang untuk berpatah balik demi keselamatan seluruh penumpang dan anak kapal.

Insiden yang berlaku dalam Penerbangan Iberia itu menjadi tidak terkawal dan juruterbang pesawat berkenaan memutuskan bahawa penumpang berkenaan patut dikeluarkan.

"Para anak kapal telah berusaha untuk mententeramkannya tetapi penumpang berkenaan sebaliknya menjadi semakin agresif dan akhirnya mengunci dirinya sendiri di dalam tandas pesawat.

"Bagaimanapun kapten pesawat membuat keputusan untuk tidak mengambil risiko dan berpatah balik," kata seorang jurucakap Penerbangan Iberia dalam satu kenyataan, Jumaat.

Sebaik sahaja mendarat, pihak polis lapangan terbang telah memasuki pesawat dan membawanya keluar.

Mereka masih tidak mengetahui punca penumpang berkenaan bertindak demikian.

Jurucakap polis lapangan terbang, Angel Blanco berkata, penumpang berkenaan bertindak sopan ketika pihak polis membawa dia keluar dan tidak melawan. Dia kemudian dibebaskan tanpa sebarang caj.

Terdahulu, kapten pesawat berkenaan dalam laporan bertulisnya berkata, penumpang berkenaan enggan mematuhi arahan anak kapal supaya duduk ketika hendak berlepas dan selepas itu mula menjerit ke arah mereka.

Polis mengesahkan yang lelaki itu tidak dipengaruhi oleh alkohol mereka tidak faham apa yang menyebabkan dia bertindak demikian ketika di dalam pesawat.

Artikel Sebelum

Turki Jamin Bantu Gaddafi

Artikel Lain