suria

Putera Philip Sambut Hari Jadi Ke-90 Jumaat

LONDON: Bapa kepada Putera Charles dan suami Queen Elizabeth II - Putera Philip, akan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-90 pada Jumaat.

Bagaimanapun pihak Istana mengumumkan bahawa tidak ada majlis sambutan hari jadi besar-besaran kerana gaya hidup Putera Philip yang tidak suka menunjuk-nunjuk.

Putera Philip akan mencatat sejarah sebagai konsot atau suami yang paling lama hidup dalam sejarah keluarga Diraja British yang berusia lebih 1,000 tahun.

Yang lebih menakjubkan, walaupun telah mencecah usia 90 tahun tetapi Putera Philip masih kelihatan gagah dan sihat malah Duke of Edinburgh itu tidak memperlihatkan sebarang tanda-tanda dilanda sakit tua.

Perdana Menteri, David Cameron telah melakukan kunjungan hormat ke atas Putera Philip di bangunan Parlimen Rabu lalu.

Putera Philip atau nama asalnya Putera Philippos dari Greece adalah anak saudara kepada bekas Raja Greek Constantine I, dilahirkan di Corfu pada 10 Jun 1921.

Beliau mempunyai pertalian darah dengan keluarga diraja Britain dan Denmark.

Pada tahun 1947 iaitu selepas mengahwini Elizabeth yang juga merupakan tiga pupu dengannya, Philip menggunakan gelaran rasmi Leftenan Mountbatten iaitu nama keluarga dari sebelah darah Inggerisnya.

Dari segi kerjaya, Putera Philip adalah pegawai dalam Armada Tentera Laut Diraja - menyertai pasukan itu ketika berusia 18 tahun dan pernah berkhidmat ketika Perang Dunia Ke-2.

Kerjayanya dalam tentera laut terbantut sebaik sahaja isterinya menjadi Permaisuri pada tahun 1952. Beliau meninggalkan Tentera Laut dengan pangkat Komander.

Beliau pernah memberitahu stesen televisyen ITV bahawa itu adalah saat yang paling mengecewakan dalam hidupnya tetapi pada masa yang sama berkata "menjadi suami kepada permaisuri juga bermakna, tugas utama saya ialah untuk berkhidmat kepada raja dalam cara yang paling baik."

Bagaimanapun Putera Philip juga akan dikenang dan dikenali sebagai seorang yang suka bercakap lepas.

Pernah pada tahun 1998, beliau berkata kepada seorang pelajar Britain yang mengembara di Papua New Guinea; "Wah! Kami berjaya meredah hutan ini tanpa dimakan (oleh puak asli)ya..." .

Dalam pada itu, Istana Buckingham telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang mengandungi 90 fakta tentang Putera Philip sempena dengan sambutan hari jadinya esok.

Antaranya, putera itu pernah memandu teksi yang dijanakan oleh gas mengelilingi London dan merekacipta trofi Kejohanan Inter-University Tiddlywinks.

Artikel Berikut

13 Maut Banjir Di Haiti

Artikel Lain