Lapan Askar, 10 Anggota Taliban Terbunuh Dalam Pertempuran di Pakistan

PESHAWAR: Lapan askar dan sekurang-kurangnya 10 anggota Taliban terbunuh selepas kumpulan militan itu menyerang sebuah pondok pemeriksaan keselamatan di Pakistan awal padi tadi.

Lebih dari 100 anggota Taliban lengkap bersenjatakan senjata automatik dan pelancar roket menyerbu pondok pengawal di Selatan Waziristan. Pertempuran dikatakan berlaku selama lebih tiga jam.

"Lapan askar terbunuh manakala 10 cedera dalam serangan itu. Lebih dari 10 anggota Taliban turut terbunuh dalam kejadian berbalas tembakan itu," kata seorang pegawai keselamatan di Peshawar.

Seorang pegawai keselamatan di Wana mengesahkan insiden itu dan jumlah mangsa yang terbunuh dan cedera.

Serangan itu berlaku di Marubi, kira-kira 40 kilometer dari sempadan Afghanistan.

Wilayah itu terletak berhampiran Utara Waziristan yang menjadi pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) untuk membanteras gerakan kumpulan militan.

Kumpulan Taliban dan rangkaian Al-Qaeda turut membina kubu pertahanan di kedua-dua wilayah yang dianggap sebagai tempat paling merbahaya di Pakistan.

Pasukan tentera Pakistan melancarkan beberapa siri serangan di Selatan Waziristan tahun lalu untuk menggempur ibu pejabat anggota Taliban susulan peningkatan insiden serangan bom pada 2009.

Bagaimanapun, kebanyakan komander Taliban dan askar kanan puak itu dipercayai melarikan diri ke Utara Waziristan.

Komander Tentera Pakistan, Leftenan Jeneral Asif Yasin Malik mengetuai operasi ketenteraan di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, minggu lalu sekaligus menimbulkan desas-desus mengenai kemungkinan berlakunya serangan di Utara Waziristan.

"Kami akan mengambil alih operasi di Utara Waziristan pada bila-bila masa saja,"katanya.

Ramai penganalisis melihat serangan berganda ke wilayah itu sebagai tekanan kepada Pakistan untuk melakukan tindakan susulan.

Lebih 4,400 orang terbunuh di wilayah Pakistan dalam serangan yang dipercayai dilakukan oleh kumpulan Taliban dan beberapa pemberontak Islam sejak tentera kerajaan melancarkan serangan ke sebuah masjid di Islamabad pada 2007.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

13 Maut Banjir Di Haiti

Artikel Lain