suria

Masjid Penduduk Palestin Dibakar Dan Diconteng

Keadaan sebuah masjid penduduk Palestin berdekatan bandar Ramallah yang diconteng dan dibakar.
Keadaan sebuah masjid penduduk Palestin berdekatan bandar Ramallah yang diconteng dan dibakar.
Keadaan sebuah masjid penduduk Palestin berdekatan bandar Ramallah yang diconteng dan dibakar.

RAMALLAH (Tebing Barat): Sekumpulan individu bersenjata telah membakar sebuah masjid di Tebing Barat pada awal Selasa dan menconteng lukisan grafiti dengan tulisan Ibrani di dinding masjid berkenaan.

Ketua Kampung El-Mughayer mengatakan kebakaran itu berlaku di bahagian dalam masjid dan ia merupakan usaha untuk memusnahkan bangunan masjid tersebut.

Datuk Bandar, Faraj Al-Nassan mengatakan penduduk kampung menyedari kebakaran apabila mereka pergi ke masjid untuk menunaikan solat subuh.

Sejadah didapati dibakar namun api tidak merebak besar.

Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab namun penduduk di satu penempatan Yahudi disyaki menjadi dalang kerana beberapa serangan serupa pernah dilakukan oleh mereka sebelum ini dan lukisan grafiti yang diconteng mempunyai ayat "Price tag, Aley Ayin".

"Price tag" merupakan perkataan yang digunakan untuk menyerang penduduk Palestin sebagai tindak balas terhadap tindakan Kerajaan Israel menjalankan operasi memindahkan kependudukan haram Yahudi manakala "Aley Ayin" pula merupakan satu kawasan penempatan kecil Yahudi yang dipindahkan anggota keselamatan minggu lalu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengutuk serangan itu dan memanggilnya satu perlakuan provokasi.

Amerika Syarikat (AS) juga mengutuk serangan merosakkan masjid itu.

"Kejadian ini merupakan salah satu serangan sedemikian yang mensasarkan masjid-masjid di Tebing Barat," kata Mark Toner, jurucakap Jabatan Negara AS.

"Serangan-serangan yang berlaku ini menyukarkan lagi usaha untuk mencapai keamanan di wilayah ini.

"Kami meminta pihak Israel menyiasat serangan yang berlaku dan mengheret pesalah ke muka pengadilan lantas memberi ketenangan kepada semua pihak," tambahnya.

Utusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Timur Tengah, Robert Serry menyeru Israel supaya memastikan pihak yang terbabit dalam serangan itu bertanggungjawab dan melindungi hak asasi rakyat Palestin, juga harta benda mereka. -AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain