suria

K'jaan M'sia Buka Peluang Lanjut Pelajaran Kepada Pelajar Laos

VIENTIANE (Laos): Kerajaan Malaysia sedang mengusahakan inisiatif terbaik untuk menyediakan lebih banyak tempat bagi pelajar Laos mendapatkan peluang pendidikan tinggi di Malaysia.

Duta Besar Malaysia ke Laos, Datuk Than Tai Hing berkata, kedutaan Malaysia di sini dalam peringkat perbincangan dengan Kementerian Pendidikan Laos bagi mendapatkan keputusan terbaik ke arah itu.

Beliau berkata, perkara itu merupakan susulan daripada perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani antara kerajaan Malaysia dengan Laos pada Jun tahun lepas.

"Ini saya lihat ada potensi bukan sahaja dari segi kualiti pendidikan tinggi di Malaysia, tapi juga kerana harga pendidikan tinggi di Malaysia adalah berpatutan yang mampu dibiayai ibu bapa di sini," katanya kepada pemberita yang menyertai ekspedisi Jejak Warisan Jawi II (JWJ2) ketika mengunjungi kedutaan Malaysia di sini, Selasa.

Namun Than berkata, kerajaan belum memutuskan untuk menghantar tenaga pengajar dari Malaysia ke negara ini.

"Dari segi itu, setakat ini kita tak nampak lagi, sebab masalah sistem pengajian dan bahasa pengantarnya.

"Sebab bahasa pengantarnya adalah bahasa Lao. Ada juga sekolah-sekolah antarabangsa yang menggunakan bahasa Inggeris tapi bukan di peringkat universiti," katanya.

Beliau mengalu-alukan kedatangan ekspedisi JWJ2 ke Laos yang menurutnya akan memberi kesan dalam memperkuatkan lagi promosi sektor pelancongan dua hala antara kedua-dua negara.

Katanya, waktu lawatan JWJ2 adalah bertepatan dengan Tahun Melawat Laos 2012 yang dapat membantu kerajaan mempromosikan pelancongan dua hala.

"Ini (JWJ2) adalah usaha baik untuk memperkenalkan Malaysia bagi mempromosikan pelancongan dan memperkenalkan warisan dan kebudayaan negara kita," katanya.

Menurut Than, tahun lalu sektor pelancongan mencatat peningkatan kira-kira 3,000 pelancong dua hala yang datang secara penerbangan terus berbanding tahun 2009.

Ekspedisi JWJ2 sedang menjejaki warisan Melayu di tujuh buah negara Asia Tenggara dan China yang dianjurkan oleh Majma' Budaya dan Warisan Melayu serta Kelab Putra 1Malaysia dengan disokong oleh Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Ekspedisi 35 anggota dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda tiba di ibu negara Laos ini petang semalam dan akan bertolak pula ke Luang Prabang, sejauh 300 kilometer yang akan mengambil masa sehingga 10 jam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain