suria

Sokongan Untuk Penceraian Meningkat Di Filipina

MANILA: Sebuah tinjauan seluruh negara yang dikeluarkan pada Khamis menunjukkan, galakkan untuk bercerai semakin meningkat di sebuah negara yang mengamalkan ajaran Roman Katolik dengan ketat dan mengharamkan penceraian di kalangan rakyatnya.

Kecenderungan suami-isteri di Filipina untuk bercerai semakin meningkat, demikian menurut satu hasil tinjauan di seluruh negara yang dilakukan pada bulan Mac.

Social Weather Stations (SWS) iaitu sebuah badan bebas yang membuat tinjauan itu mendapati, separuh daripada jumlah orang dewasa Filipina yang ditinjau pendapat mereka berkata, pasangan bermasalah yang tidak tinggal bersama harus dibenarkan bercerai supaya mereka boleh mencari pasangan lain yang lebih sesuai.

Satu pertiga daripada jumlah responden tidak bersetuju dengan penceraian manakala yang lain tidak pasti.

Kaji selidik yang dibuat terhadap 1,200 penduduk itu hanya menanyakan satu sahaja soalan dan tidak menanyakan soalan lain tentang isu penceraian.

Sebuah lagi negara Katolik iaitu Malta memutuskan untuk membenarkan penceraian lantas menjadikan Filipina dan Vatican City sahaja sebagai negara yang masih tidak membenarkan penceraian.

Dewan Perwakilan yang merupakan salah satu badan perundangan di Filipina mula berdebat pada minggu ini mengenai rang undang-undang yang mengesahkan penceraian walaupun ditentang hebat oleh gereja Katolik yang amat berpengaruh di kalangan rakyat Filipina.

Kepimpinan Katolik juga berusaha untuk menyekat pengesahan rang undang-undang dicadangkan itu yang akan membahagikan dana negara untuk satu program penduduk.

Presiden Benigo Aquino yang menyokong rang undang-undang program penduduk itu masih belum menyatakan pendiriannya terhadap cadangan rang undang-undang membenarkan penceraian. -AFP

Artikel Lain