suria

Serangan Sempadan Pakistan-Afghanistan: 28 Terbunuh

PESHAWAR: Seramai 23 orang anggota polis dan lima orang awam terkorban dalam serangan yang dilakukan oleh ratusan anggota puak Taliban yang mengepung pos kawalan di sempadan Afghanistan, Khamis.

Ia adalah korban serangan Taliban paling buruk pada tahun ini.

Seramai 500 anggota militan dari puak Taliban Afghanistan dan Pakistan menyertai serangan yang bermula sebelum awal pagi Rabu yang kemudiannya berlanjutan selama 24 jam berikutnya, demikian menurut seorang Pegawai Kanan Polis.

Puak militan mensasarkan pos kawalan Shaltalu yang dikelilingi kawasan bukit bukau dan hutan di barat laut Dir, lebih kurang enam kilometer daripada sempadan Afghanistan.

Militan menyerang pos kawalan menggunakan bom mortar namun tersasar ke arah kawasan perumahan berdekatan.

Tentera Pakistan menghantar pasukan sokongan ke pos kawalan itu untuk menentang serangan yang dilakukan puak militan tersebut.

Seorang Pegawai Kanan Polis, Qazi Jamil ur-Rehman memberitahu, pihak berkuasa berjaya menguasai semula sebahagian besar kawasan yang diserang namun pertempuran masih berlaku di sesetengah kawasan.

Ur-Rehman juga mengatakan seramai 20 orang anggota polis cedera namun tidak mengetahui jumlah kematian di pihak militan.

Kejadian itu merupakan pertempuran terbesar berlaku di Pakistan dalam tempoh beberapa bulan ini malah yang terburuk sejak pembunuhan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden pada awal Mei lalu. -AFP

Artikel Lain