suria

Pakistan Arahkan Langkah Segera Kekang Serangan Taliban

ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan telah mengarahkan angkatan tenteranya menggunakan apa juga cara dan langkah untuk mengekang serangan puak Taliban ke atas kepentingan negara itu.

Arahan tersebut dikeluarkan ekoran beberapa siri serangan yang memalukan dan memusnahkan beberapa kepentingan tentera bernilai berjuta-juta ringgit sejak kebelakangan ini.

Yang terbaru ialah serangan enam gerila ke atas unit udara tentera laut di Karachi Ahad lalu yang menyaksikan 10 kakitangan tentera terbunuh dan dua pesawat buatan Amerika bernilai AS$36 juta musnah.

Ia adalah serangan terburuk ke atas pangkalan tentera Pakistan sejak serangan ke atas Ibu Pejabat Tentera Pakistan dilakukan pada tahun 2009. Puak Taliban Pakistan telah melancarkan beberapa serangan ke atas kepentingan kerajaan khususnya pangkalan tentera dan balai polis sejak Osama berjaya dibunuh oleh pasukan elit tentera laut Amerika.

Pada 13 Mei, 98 orang telah terbunuh dalam serangan bom di luar pusat latihan polis dan seminggu selepas itu mereka telah mengebom konvoi tentera di Peshawar yang menyaksikan seorang terbunuh dan mencederakan 11 yang lain.

Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani telah memanggil satu sidang tergempar dengan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Negara pada Rabu untuk melihat kembali akan langkah-langkah mengawal keselamatan dan mengekang serangan Taliban.

Mesyuarat itu dihadiri oleh menteri-menteri kabinet, ketua-ketua semua cabang angkatan tentera, agensi perisikan dan pakar-pakar keselamatan.

Pada hari mesyuarat itu dilangsungkan, sembilan lagi anggota keselamatan terbunuh apabila sebuah bangunan yang menempatkan jabatan siasatan polis di Peshawar ranap dirempuh oleh sebuah trak yang sarat dengan bahan peledak. Gilani mengakui kerajaannya sedang berhadapan dengan krisis yang serius ekoran serangan demi serangan yang dilancarkan ke atas premis dan bangunan pasukan keselamatan di seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain