suria

Kapal Terbang Terhempas Di India, 10 Terbunuh

NEW DELHI: Sepuluh orang terbunuh selepas sebuah kapal terbang sewa India terhempas di atas rumah kedai di luar Delhi Rabu malam.

Tujuh terdiri daripada penumpang kapal terbang itu manakala tiga lagi adalah penghuni rumah kedai berkenaan.

Kapal terbang dengan kapasiti sembilan tempat duduk itu membawa seorang pesakit kritikal, anggota keluarganya, dan petugas perubatan semasa kejadian, menurut saluran televisyen yang berpengkalan di Delhi.

Kapal terbang itu dilaporkan terhempas di kawasan perumahan di Faridabad, yang bersempadan dengan Delhi. The Press Trust of India (PTI) dalam laporannya berkata kapal terbang itu hilang kawalan dan menjuman dari ketinggian 8,000 kaki kira-kira 15 minit sebelum mendarat di Delhi.

Kapal terbang itu dipercayai terperangkap dalam angin kencang dan ribut pasir, menurut laporan awal, namun punca sebenar kemalangan belum diketahui.

Pesakit itu diterbangkan dari Patna di Maharshtra ke hospital Delhi untuk rawatan.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain