suria

Marion Lau Diangkat Sebagai Pemimpin Masyarakat Di Australia

MELBOURNE: Marion Lau, anak kelahiran Malaysia, telah diterima untuk menyertai senarai penghormatan Victoria, "Victorian Honour Roll of Women" sebagai menghargai khidmat beliau yang tidak mengenal penat lelah dalam bidang kebajikan dan perniagaan sejak tiba di sini dari Ipoh 42 tahun lalu.

Beliau adalah salah seorang daripada 20 wanita yang dilantik oleh Menteri Hal Ehwal Wanita Negeri Victoria, Mary Woodridge, minggu lalu dan beliau berbual bicara dengan Bernama tentang pengalaman hidupnya dari seorang pendatang yang agak pemalu ke Australia hingga menjadi pemimpin masyarakat dan seorang tokoh perniagaan yang sangat dihormati.

Pencapaian Lau agak luar biasa, memerangi diskriminasi di peringkat awal, sambil meningkatkan kedudukan diri menerusi profesion jururawat kemudian dilantik matron/pengurus Avenue Private Hospital pada 1970an, mengubah kedudukan hospital itu, hingga memungkinkan pemiliknya menjual hospital tersebut kepada sebuah syarikat kesihatan Amerika Syarikat dengan meraih keuntungan.

Dalam peranan seterusnya sebagai seorang Penasihat Jururawat Kanan Jabatan Kesihatan Victoria, beliau bertanggungjawab, antara lain, menyediakan bajet hospital, mengambil dan mengurus kakitangan.

Pada awal 80-an, belau menjadi Pengarah Kejururawatan Rumah Kebajikan Montefiore tetapi kerjayanya itu terganggu pada 1995 bila suami, yang dikahwininya pada 1971, meninggal dunia dan beliau mewarisi restoran di Chinatown sini.

Tahun-tahun itu merupakan zaman sukar ketika restoran-restoran Cina terpaksa berhempas pulas untuk mengekalkan perniagaan akibat pelbagai rupa cabaran ekonomi yang dihadapi dan tarikan kasino Crown yang baru dibuka.

Namun Lau berjaya mengharunginya dan menerusi kemahiran pengurusan yang baik restoran beliau mencapai kejayaan besar selama tujuh tahun sebelum beliau menjualnya.

Selepas itu Lau, yang terlatih sebagai seorang juruwat di Britain, mengalih perhatian kepada kerja-kerja kemasyarakatan, memperjuangkan pengiktirafan yang lebih besar untuk wanita migran dalam kehidupan awam, persendirian dan kemasyarakatan.

"Saya punya perasaan mendalam terhadap wanita-wanita ini kerana pengalaman saya sendiri bila saya datang ke Australia beberapa tahun sebelumnya.

"Orang ramai ketika itu sukar memahami yang saya mempunyai kelayakan jururawat dari England dan saya boleh bertutur Inggeris dengan baik dan selesa dengan cara hidup masyarakat Australia," kata beliau.

Lau berkata pada 1970an wanita Australia umumnya mendapati sukar mendapatkan hak persamaan dan bagi migran lebih sukar lagi.

"Tetapi kami semakin hampir ke situ sekarang dan diharapkan dengan Julia Gillard sebagai perdana menteri, nasib wanita akan berubah kerana beliau datang ke Australia sebagai migran dari Wales," kata Lau.

Lau merupakan wanita pertama dilantik pengerusi Majlis Masyarakat Etnik Victoria, presiden wanita pertama Persatuan Masyarakat Cina Victoria, gabenor seumur hidup Persatuan Kebajikan Warga Tua Cina Victoria dan seorang Jaksa Pendamai.

Pada 1996 Lau dianugerahi pingat 'Order of Australia' kerana khidmatnya kepada warga tua Australia dan masyarakat Cina di Victoria dan pada 2003 beliau menerima 'Centenary Medal', kedua-duanya anugerah nasional yang berprestij.

Kini Lau mengendalikan pusat perunding penjagaan warga tua yang maju. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain