suria

Jayalalithaa Kembali Berkuasa Di Tamil Nadu

CHENNAI: Bekas ratu filem Tamil, J. Jayalalithaa, kembali untuk merampas semula pemerintahan Tamil Nadu selepas mengalahkan parti pemerintah, Dravida Mennetra Kazhagam (DMK), pada pilihan raya negeri itu.

Jayalalithaa, dengan panggilan mesra 'Amma', memimpin partinya, 'All India Anna Dravida Munnetra Kazhagam' (AIAMDK), untuk mencapai kemenangan dramatik dengan memenangi 196 daripada 234 kerusi dalam dewan undangan negeri itu.

Ahli politik wanita berusia 63 tahun itu mengalahkan musuh ketatnya, Ketua Menteri M. Karunandhi, yang partinya hanya mampu memperoleh 36 kerusi.

Keputusan pilihan raya yang diadakan di lima wilayah pada 13 April lalu - Assam, Kerala, Pondichery, Tamil Nadu dan Bengal Barat dikeluarkan pada Jummat.

Parti DMK, yang diterajui oleh Karunandhi, 88, hilang populariti selepas pemerintahannya dirundung pelbagai kontroversi rasuah khususnya skandal pelesenan perkhidmatan telefon bimbit, politik wang dan amalan nepotisme.

Populariti sebagai pelakon wanita banyak membantu Jayalalithaa memperoleh sokongan dalam arena politik sehingga menjadi wanita pertama dilantik sebagai Ketua Menteri dari 1991 hingga 1996 dan kemudian mengalahkan DMK untuk kembali semula memegang tampuk kepimpinan wilayah itu dari 2002 hingga 2006.

Di Bengal Barat, seorang lagi tokoh politik wanita, Mamata Banerjee membantu parti pimpinannya Kongres Trinamool mencapai kemenangan bersejarah apabila mengakhiri pemerintahan parti Komunis selama 34 tahun.

Parti Kongres Trinamool memenangi lebih 200 daripada 294 kerusi untuk membentuk kerajaan baru di wilayah itu.

Di Kerala, parti Kongres yang diterajui oleh Barisan Demokratik Bersatu (UDF) akan membentuk kerajaan baru selepas menamatkan penguasaan parti Komunis dengan majoriti tipis 72-68. -BERNAMA

Artikel Lain