suria

PAP Kekal Berkuasa, Pembangkang Curi Perhatian

SINGAPURA: Parti memerintah, Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengekalkan kuasanya tetapi perhatian tertumpu kepada parti pembangkang apabila mencatat keputusan terbaik dalam sejarah pilihan raya umum Singapura.

Walaupun bersaing sengit, PAP yang dipimpin Perdana Menteri Lee Hsien Loong kembali memegang tampuk kuasa dalam pilihan raya umum ke-14 dengan memenangi 81 daripada 87 kerusi Parlimen termasuk lima kerusi yang dimenangi tanpa bertanding bagi Perwakilan Kumpulan Kawasan Pilihan Raya (GRC) Tanjong Pagar.'

Ini menunjukkan penurunan berbanding 82 daripada 84 kerusi semasa pilihan raya umum pada 2006. Undi PAP menurun kepada 60 peratus berbanding 67 peratus pada pilihan raya umum lepas.

Anggota veteran Parti Pekerja (WP), Low Thia Khiang, memenangi satu GRC buat kali pertama dengan merampas lima kerusi di kawasan GRC Aljunied yang menjadi tumpuan.

WP, juga memenangi satu Kawasan Pilihan Raya Keanggotaan Tunggal (SMC) - Hougang.

PAP mendapat 1 GRC dan 11 SMC. Dengan kekalahan lima anggota GRC Aljunied membawa kepada terkeluarnya Menteri Luarnya George Yeo, anggota pasukan PAP yang bertanding di kawasan itu.

Menteri Kewangan Kedua Lim Hwee Hua, Menteri Kanan Zainul Abidin Rasheed, Cynthia Phua dan muka baru Ong Ye Kung, adalah di antara pasukan PAP yang tewas.

Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung PAP, bukan tandingan bagi pembangkang apabila beliau mengekalkan populariti di GRC Ang Mo Kio dengan memenangi majoriti besar ke atas Parti Reformasi (RP).

Beliau meraih 69.33 peratus undi manakala RP cuma mendapat 30.67 peratus.

Bercakap kepada pemberita selepas kejayaannya itu, Lee yang masih mendapat tempat di hati rakyat Singapura berkata : Kita telah berusaha sedaya upaya untuk berkhidmat kepada pengundi lebih daripada lima tahun kebelakangan ini. Mereka yakin dengan kami."

"Selepas pilihan raya ini, kit akan melihat keputusan itu dan menyemaknya. Ini merupakan perjalanan yang jauh dan kami tidak akan berhenti daripada bekerja lebih kuat," katanya.

Semalam, rakyat Singapura keluar mengundi dalam keadaan lancar.

Sebaik pengundian ditutup 8 malam, jumlah mereka yang mengundi berjumlah 2.058 juta iaitu 93.06 peratus daripada 2.21 juta pemilih berdaftar.

PAP memerintah Singapura sejak 1959. BERNAMA

Artikel Lain