suria

Menteri Luar Asean Dijangka Terima Laporan Pertikaian Sempadan Thailand-Kemboja

JAKARTA: Menteri Luar Asean dijangka mendengar laporan mengenai pertikaian sempadan Thailand-Kemboja pada mesyuarat mereka di sini Khamis, sebelum Sidang Kemuncak Asean Ke-18 yang dijadualkan dua hari dari Sabtu ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Mohd Radzi Abdul Rahman berkata Menteri Luar Thailand dan Kemboja dijangka membentangkan laporan mengenai rundingan damai untuk menyelesaikan masalah itu.

Mereka akan memaklumkan Asean mengenai perkembangan terkini berhubung isu itu, katanya kepada pemberita Malaysia di sini hari ini ketika ditanya mengenai usaha terbaru Indonesia dan Asean untuk mencari penyelesaian secara aman terhadap pertikaian sempadan itu.

Menteri Luar Indonesia Dr Marty Natalegawa semalam dilaporkan berkata beliau telah berhubungan dengan pihak Thailand dan Kemboja.

Dua hari lepas, seorang tentera Thailand terbunuh dalam pertempuran di Surin, di sempadan Thailand-Kemboja, menjadikan jumlah kematian di pihak Thailand kepada 12 orang sejak pertempuran bermula 12 hari lepas.

Mengenai sama ada isu keganasan akan dibincangkan pada Sidang Kemuncak Asean, Mohd Radzi berkata pada ketika ini tiada sebarang petanda yang isu itu akan menjadi agenda utama. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak itu.

Beliau akan diiringi isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan para pegawai kanan kerajaan.

Najib akan mengetuai delegasi Malaysia pada sesi pleno dan permukiman, mesyuarat pemimpin Asean dengan wakil Perhimpunan Antara Parlimen Asean (AIPA), mesyuarat tidak rasmi pemimpin Asean dengan wakil belia, mesyuarat tidak rasmi pemimpin Asean dengan wakil pertubuhan sivil dan Sidang Kemuncak Pertumbuhan Segi Tiga Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-7.

Pada sesi permukiman sidang kemuncak itu, pemimpin Asean antara lain akan membincangkan perkara berkaitan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) kerana isu itu amat penting ekoran pembabitkan Russia dan Amerika Syarikat dalam EAS bermula tahun ini.

Mohd Radzi berkata para pemimpin juga dijangka membincangkan mengenai bagaimana Asean boleh bersuara dalam satu nada dan sepadu mengenai isu-isu global.

"Pemimpin-pemimpin juga dijangka bertukar-tukar pandangan mengenai isu kebimbangan bersama termasuk usaha menggalakkan langkah-langkah keselamatan nuklear di rantau ini," katanya.

Sebelum sidang kemuncak itu, Mohd Radzi berkata Anifah akan mengetuai delegasi Malaysia pada mesyuarat Majlis Komuniti Keselamatan Politik Asean (APSC) ke-5, Mesyuarat Menteri Luar Asean (AMM) dan Majlis Penyelarasan Asean (ACC) ke-8 manakala Mustapa akan mengetuai delegasi Malaysia pada Majlis Komuniti Ekonomi Asean (AEC).

Mustapa juga akan menghadiri mesyuarat pertama Sidang Kemuncak Bisnes Asean-Kesatuan Eropah di sini esok. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain