suria

Pengunguman Pilihanraya Thailand Mungkin Ditunda

BANGKOK: Thailand akan menangguhkan pengumuman tarikh pilihan raya yang pertama sejak protes tahun lalu selama beberapa hari untuk membolehkan pihak berkuasa meluluskan undang-undang perlembagaan, kata Timbalan Perdana Menteri Suthep Thaugsuban pada Rabu.

Beliau berkata, jadual untuk membubarkan dewan rendah parlimen menjelang pilihan raya yang bakal diadakan akhir Jun atau awal Julai itu masih belum dapat diketahui kerana tiga undang-undang pilihan raya belum diselesaikan.

Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva secara umumnya diketahui bakal membubarkan parlimen pada 6 Mei namun timbalannya menyatakan bahawa pembubaran itu akan ditangguhkan sehingga mahkamah mempertimbangkan undang-undang berkaitan pada Isnin , 9 Mei.

"Matlamatnya masih tidak berubah. Saya rasa jika tarikhnya hanya ditunda selama beberapa hari, ia tidak membawa sebarang perubahan," beritahunya kepada pemberita.

Suthep mengakui bahawa dia juga tidak pasti tentang tarikh tepat pembubaran tersebut.

"Seorang menteri bertanyakan kepada Perdana Menteri malam semalam di dalam mesyuarat kabinet tentang bilakah beliau akan membubar parlimen dan beliau meminta menteri itu mendengar pengungumannya di radio," tambah Suthep.

Undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Perwakilan dan Dewan Senat.

Pilihan raya Thailand dijangka sengit dan diadakan ketika sensitiviti politik meningkat di negara yang bergolak itu - setahun selepas perhimpunan besar Baju Merah yang didalangi parti pembangkang.

Tunjuk perasaan itu mencetuskan keganasan politik di dalam tempoh beberapa dekad dan mengakibatkan lebih 90 orang awam terbunuh di dalam pertempuran antara penunjuk perasaan dengan tentera bersenjata di Bangkok.

Thailand juga terlibat dalam perbalahan kawasan sempadan dengan jirannya, Kemboja.

Konflik yang kelihatan seakan sudah reda itu telah mengakibatkan 18 nyawa terkorban dan beribu penduduk lari dari tempat tinggal untuk beberapa hari. - AFP

Artikel Lain