suria

Osama Bin Laden Terbunuh Berhampiran Islamabad

ISLAMABAD: Osama bin Laden dilaporkan terbunuh dalam serangan menggunakan helikopter di sebuah rumah agam di bahagian Utara ibu negara Pakistan, kata pegawai Amerika Syarikat (AS) dan Pakistan pada Isnin.

Empat helikopter melancarkan serangan di Bilal, Abbottabad yang terletak kira-kira 100 kilometer utara dari sini, kata seorang pegawai Pakistan yang enggan mendedahkan namanya ekoran isu tersebut dianggap sebagai sensitif.

Pegawai tersebut menambah, satu daripada helikopter tersebut terhempas dikatakan ditembak dari bawah. Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sekiranya ada yang terkorban.

Beliau berkata, helikopter terbabit bertolak dari pangkalan udara Pakistan yang terletak di utara negara terbabit.

Dalam serangan itu, golongan wanita dan kanak-kanak ditahan.

Seorang pegawai AS yang juga tidak mendedahkan identitinya mengesahkan bahawa serangan tersebut dilancarkan ke arah sebuah rumah agam berhampiran Islamabad.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden AS, Barrack Obama berkata, operasi tersebut dijalankan pada Ahad.

Berita kematian Osama di Islamabad akan menimbulkan persoalan bagaimana dia dapat meloloskan diri daripada tangkapan dan berapa lama dia bersembunyi di daerah tersebut. -AP

Artikel Berikut

Artikel Lain