suria

Malaysia Perkukuh Daya Tarikan Pelancongan Dalam Pasaran Arab

DUBAI: Malaysia sedang memperkukuhkan lagi daya tarikan pelancongannya dalam pasaran Arab bagi menarik lebih ramai pelancong dari negara Asia Barat, kata Pemangku Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk Azizan Noordin.

Beliau berkata usaha mempromosikan produk pelancongan Malaysia dilakukan melalui pameran pelancongan Arabian Travel Market (ATM) 2011 yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Dubai (DICEC), mulai hari ini hingga 5 Mei.

Ini merupakan penyertaan kali ke-18 Malaysia dalam ATM dengan delegasi negara diketuai Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Azizan berkata sejumlah 87 organisasi kerajaan dan swasta terlibat dalam ATM kali ini, iaitu terdiri daripada 51 hotel, 26 agensi pelancongan, sembilan kerajaan negeri dan sebuah syarikat penerbangan iaitu Malaysia Airlines (MAS).

Sebanyak 80 gerai disediakan untuk peserta Malaysia di astaka berkonsepkan Rumah Melayu Tradisional, katanya.

Azizan berkata Malaysia merekodkan 320,373 ketibaan pelancong dari Asia Barat pada tahun lepas, meningkat sebanyak 12.5 peratus berbanding 284,890 orang pada 2009.

Beliau berkata produk pelancongan yang diketengahkan kepada pengunjung ATM adalah pantai dan pulau, destinasi membeli-belah, taman tema dan ekopelancongan.

"Turut dipromosikan adalah produk-produk minat khas seperti pelancongan pendidikan, pelancongan kesihatan, bulan madu, spa dan Malaysia My Second Home," katanya.

Selain pameran, turut diadakan Malaysia Night Gala Dinner pada 3 Mei dan promosi makanan serta kebudayaan Malaysia dengan kerjasama Hotel Shangri-La, Dubai dan MAS mulai 3 hingga 9 Mei ini.

Selepas ATM, sebahagian delegasi akan mengadakan lawatan ke Iran mulai 7 hingga 12 Mei ini.- BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain