suria

Kematian Osama Penamat Pemburuan Paling Hebat AS

PEMBURUAN paling hebat dalam sejarah berakhir dengan kematian Osama Bin Laden, tetapi riwayat hidupnya akan disampaikan dalam pelbagai versi bergantung kepada sumbernya.

Dicerca sebagai individu yang mempunyai personaliti jahat di Barat, Osama disanjung dan dihormati oleh masyarakat Muslim yang menyokong matlamat perjuangan jihadnya yang tidak terbatas terhadap Amerika Syarikat (AS).

Osama dikatakan perancang utama kejadian serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia AS pada 11 September 2001 yang mengorbankan lebih 3,000 nyawa di New York, Washington dan Pensylvania dan selamanya merampas perasaan penduduk negara tersebut dalam isu keselamatan.

Tindakan pemimpin kumpulan Al-Qaeda tersebut mencetuskan rantaian serangan AS terhadap Afghansitan dan Iraq serta perang bawah tanah bagi melawan penganut agama Islam yang dianggap sebagai ekstrim serta rombakan secara kesuluruhan terhadap bahagian risikan AS bagi menentang serangan pengganas.

Presiden AS, Barrack Obama mengesahkan Osama terbunuh dalam operasi yang diketuai oleh pasukan tentera negara tersebut dan jenazah individu paling dikhendaki dikatakan berada dalam jagaan pasukan tersebut.

Kumpulan Al-Qaeda yang sering dikaitkan dalam pelbagai kejadian serangan pengganas juga dipersalahkan dalam serangan bom pada tahun 1998 di dua kedutaan AS di Afrika yang menyebabkan 231 orang terbunuh.

Kumpulan sama juga dipertanggungjawabkan dengan kejadian serangan terhadap kapal USS Cole yang mengorbankan 17 kelasi AS di Yemen termasuk pelbagai siri keganasan lain, walaupun ada di antaranya dikatakan gagal mencapai matlamat.

Mungkin yang menjadi perhatian ialah kemampuan Osama -termasuk kebolehannya untuk bersembunyi- menjadi inspirasi kepada golongan yang dikatakan sebagai pengganas generasi baru.

Sejak peristiwa bersejarah 11 September 2001, kebanyakan pemimpin Al-Qaeda telah dibunuh atau ditangkap dan pasukan perisikan di Eropah dan Asia berkata, mereka kini melihat lebih banyak ancaman di negara sendiri berbanding kumpulan radikal yang dipimpin oleh Osama.

Al-Qaeda tidak dianggap sebagai sumber kewangan mahupun memberikan sokongan dari segi logistik kepada kumpulan Muslim Afrika Utara yang dikatakan terlibat dalam serangan bom di Madrid, Sepanyol pada 11 Mac 2004 -membunuh 191 orang- tetapi yang pasti kumpulan tersebut mendapat inspirasi jihad daripadanya.

Malah, tiada kaitan ditemui yang dapat mengaitkan hubungan antara Al-Qaeda dengan empat penganut agama Islam British yang meletupkan diri mereka London pada 7 Julai 2005 yang menyebabkan 52 orang terbunuh.

Bagaimanapun, ada yang berpendapat bahawa serangan tersebut tidak akan berlaku sekiranya Osama tidak membangkitkan nafsu perjuangan kepada golongan muda Muslim di serata dunia.

Tetapi sebelum Osama menjadi penjenayah paling dikhendaki di dunia, ramai yang percaya takdir membawa dia ke arah di mana dia berada sekarang.

Osama dilahirkan di Arab Saudi pada tahun 1954 dan dikenali sebagai anak lelaki paling warak daripada 54 beradik.

Pergerakannya di dalam perjuangan Islam bermula sejak remaja pada tahun 1970an ketika terjebak dalam gerakan fundamentalis yang melanda Arab Saudi.

Osama juga dikatakan seorang yang ‘rakus’ dalam pembacaan terhadap sastera Islam dan mendengar khutbah yang dibacakan di kota suci Mekah.

Memiliki susuk tubuh yang kurus, berjambang dan tinggi melebihi enam kaki (1.8 meter), Osama menyertai Afghanistan dalam peperangan menentang pencerobohan tentera Soviet pada tahun 1980 dan mendapat reputasi sebagai seorang komander yang berani dan bijak.

Kedudukannya dalam keluarganya yang kaya membantu dalam meningkatkan profilnya di kalangan pejuang mujahidin.

Semasa itu, Osama bekerjasama dengan orang-orang AS yang menyokong ‘perang suci’ melawan Soviet dengan menggunakan wang dan senjata.

Kepulangan Osama ke Arab Saudi disambut dengan pujian dan sumbangan berbentuk derma sebelum dilantik sebagai jurucakap di masjid-masjid.

Tidak lama kemudian, Osama tidak lagi menyokong AS.

“Jika kita membeli barangan AS, kita merupakan rakan sekutu dalam pembunuhan warga Palestin,” katanya dalam satu kaset yang dibuatnya.

Saat yang paling berpengaruh dalam hidup Osama ialah pada tahun 1990, iaitu semasa tentera AS mendarat di Arab Saudi untuk mengusir Iraq keluar daripada Kuwait.

Osama cuba untuk memujuk kerajaan Arab Saudi daripada membenarkan tentera bukan Islam ke negara Nabi Muhammad S.A.W menyebarkan Islam, tetapi kerajaan menyokong AS bagi melindungi industri minyak mereka.

Kelantangannya mengkritik pakatan itu membawa padah apabila Arab Saudi menarik kewarganegaraannya.

“Saya melihat perubahan radikal di dalam dirinya, daripada seorang yang tenang dan lembut berubah menjadi seorang individu yang percaya dia boleh memerintah sepasukan tentera untuk membebaskan Kuwait. Ia menampakkan keangkuhan dan kesombongan dalam dirinya,” kata bekas Ketua Perisikan Arab Saudi dalam satu wawacara dengan berita Arab pada hujung tahun 2001.

Bekas Ketuan Perisikan yang pernah bertemu dengan Osama beberapa kali di Pakistan dan Arab Saudi menyifatkan dia sebagai ‘seroang yang tenang dan pendiam serta tidak pernah meninggikan suara apabila bercakap’.

Editor Al-Quds Al-Arabi, Abdel-Bari Atwan yang meluangkan masa selama 10 hari bersama Osama di gua di Afghanistan pada tahun 1996 berkata, Osama ‘menyentuh rasa tidak puas hati berjuta masyarakat Arab’ apabila memperkenalkan dirinya sebagai alternatif kepada rejim Arab yang mampu untuk membebaskan pendudukan Israel dan memulihkan rasa bangga dalam diri masyarakat.

Beliau juga memberitahu, pengikut Osama tidak pernah berasa takut dengan kematian.

“Mereka bercakap tentang kematian seperti lelaki muda bercakap untuk ke disko,” kata Atwan. “Mereka cemburu dengan rakan yang maut dalam peperangan itu kerana yakin mereka syahid kerana Allah.”

Bagaimanapun, kemampuan Osama untuk terus hidup mendapat perhatian ramai.

Selepas diusir daripada Arab Saudi, Osama mencari perlindungan di Sudan, sebelum negara Afrika itu bersetuju dengan tuntutan AS dan menyerahkan dia kepada negara asalnya pada tahun 1996.

Bagaimanapun, Arab Saudi enggan menerima Osama kerana bimbang akan berlaku ketidakstabilan di situ dan menyebabkan Osama kembali ke Afghanistan melalui persetujuan oleh kerajaan pimpinan Burhanuddin Rabbani.

Osama dan rangkaiannya, Al-Qaeda kemudiannya bersiap untuk melancarkan ‘perang suci’ yang menjadikan dia sebagai musuh nombor 1 Washington.

Ketika Kerajaan Taliban- yang memberikan perlindungan kepadanya- Osama dan pengikutnya tidak begitu menonjol pada awalnya kerana tidak pasti penerimaan rejim Taliban terhadap mereka.

Di Afhganistan, Osama menjalani kehidupan yang sederhana. Dia akan bangun sebelum subuh untuk menunaikan solat sebelum bersarapan ringkas yang terdiri daripada keju dan roti. Dia juga akan memantau perkembagan terbaru dunia.

Dikatakan, hampir setiap hari Osama dan pengikutnya- daripada negara Mesir, Yemen dan Saudi- akan berlatih taktik serangan seperti melemparkan bahan letupan ke arah sasaran dan menembah musuh khayalan.

Osama juga akan melakukan aktiviti kegemarannya, iaitu menunggang kuda dan mengambil makanan kesihatan - seperti madu yang menjadi kegemarannya- dan pelbagai herba bagi merawat selesema dan penyakit lain.

Di Afghanistan, Osama dikatakan ditemani oleh empat orang isterinya - iaitu jumlah maksimum yang dibenarkan untuk seseorang lelaki Islam pada satu-satu masa dan dia dianggarkan mempunyai 23 orang anak.

Serangan pertama yang didakwa dilakukan oleh Al-Qaeda selepas kepulangan Osama ke Afghanistan ialah pada 7 Ogos 1998, apabila dua letupan berlaku di kedutaan AS di Kenya dan Tanzania. Kebanyakkan mangsa ialah rakyat Afrika yang berada di kawasan tersebut yang turut membunuh 12 rakyat AS.

Beberapa hari kemudian, Osama berjaya meloloskan diri daripada serangan balas yang dilakukan oleh AS terhadap salah satu kem latihannya di Afghanistan.

Semasa itu, Osama dipercayai berada di Kem Kili Zhawar Al-Badar untuk bertemu dengan orang kanannya, tetapi telah beredar tidak beberapa lama sebelum peluru berpandu 70 Tomahawk jatuh di kompleks yang berdebu tersebut.

Sejak kejadian 11 September 2001, Osama sentiasa berada di hadapan daripada usaha untuk menangkapnya - yang mungkin dianggap sebagai satu sejarah paling besar untuk seorang individu.

Selepas Taliban menjadi sasaran pengeboman AS, Osama melarikan diri ke kawasan pergunungan yang memisahkan Pakistan dan Afghanistan.

Hanya selang beberapa jam selepas serangan AS terhadap Afghanistan pada 7 Oktober 2001, Osama muncul dalam satu video yang dihantar kepada agensi berita, Al-Jazeera untuk memberi peringatan kepada AS.

“Saya bersumpah atas nama Allah, tidak akan selamat orang yang tinggal di AS sebelum kita dapat hidup di Palestin dan tidak sebelum semua tentera kafir meninggalkan tanah Nabi Muhammad S.A.W,” katanya yang kelihatan lesu.

Osama muncul sekali lagi dalam video yang disiarkan oleh Al-Jazeera pada 27 Disember 2001 tidak lama selepas AS mengepungnya di Tora Bora, sebuah gua besar di timur Afghanistan.

Beratus-ratus pengikut Al-Qaeda dilaporkan berjaya melarikan diri daripada serangan AS di situ, termasuklah Osama.

Dalam sedekad ini, Osama dan timbalannya, Ayman al-Zawahri telah beberapa kali muncul sama ada menerusi audio atau visual untuk memberi amaran dan komen mengenai apa yang berlaku di sekitar dunia.

Pada November 2001, Osama mengancam Britain, Perancis, Itali, Kanada, Jerman dan Australia kerana memberikan sokongan kepada AS dengan berkata:”Sudah sampai masanya untuk kita berada dalam keadaan sama rata. Anda akan dibunuh seperti mana anda membunuh dan kami akan mengembom seperi mana kamu.”

Osama turut menyeru agar umat Islam untuk bangkit menentang pemimpin Arab Saudi dan Kuwait yang dilihatnya sebagai boneka AS.

Pada tahun 2004, Osama dikatakan mencuba ‘pendekatan baru’ apabila menawarkan ‘gencatan senjata’ kepada negara-negara Eropah yang tidak menyerang negara Islam dan turut menyatakan bahawa AS boleh mengelakkan kejadian 11 September 2001 jika ia berhenti daripada mengancam keselamatan penduduk Islam.

Setelah berdiam untuk sementara waktu, Osama kembali ‘menghantar’ mesej pada tahun 2006 dan kali ini ia lebih ke arah politik.

Pada Januari 2006, Osama yang ‘bercakap’ kepada rakyat AS dan bukannya kepada Presiden AS waktu itu, George W Bush kerana menurutnya, kajian menunjukkan bahawa majoriti rakyat AS mahu tenteranya berundur daripada Iraq.

Osama juga berkali-kali mengatakan bahawa dia bersedia untuk mati dalam perjuangan mengusir Israel daripada Jerusalem dan mengatakan bahawa AS tidak boleh menangkapnya hidup-hidup. -AP

Artikel Berikut

Artikel Lain