suria

PAP Akan Berusaha Untuk Masa Depan Rakyat Singapura

SINGAPURA: Parti pemerintah Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan berpegang kepada janji dalam manifestonya untuk memastikan masa depan rakyat Singapura terjamin dan berusaha agar negara itu dapat mengatasi cabaran global.

Selepas krisis kewangan dan kemelesetan ekonomi, kepimpinan PAP melihat 'awan gelap' di hadapan mereka.

Beberapa menteri, termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean menyuarakan ingatan itu pada Khamis ketika PAP menggariskan manifesto pilihan raya dalam menjamin masa depan Singapura, lapor televisyen tempatan, Channel NewsAsia.

PAP meletakkan pembaharuan kepimpinan sebagai latar belakang mesejnya, dan memberi tumpuan kepada suasana global menjelang hari pengundian 7 Mei ini.

Dalam kempen politik di televusyen yang pertama untuk PAP, Lee menekankan mengenai cabaran 'yang selalu berubah dan tidak pasti' di persekitaran antarabangsa.

"Kita boleh melihat awan hitam di horizon - pergolakan politik di Timur Tengah, bencana tsunami dan nuklear di Jepun, masalah hutang yang serius di Eropah, dan krisis kewangan kerajaan di Amerika Syarikat.

"Negara-negara jiran kita juga menghadapi cabaran keselamatan daripada puak pelampau dan pengganas. Semua ini boleh memberi kesan kepada perkembangan, kestabilan dan keselamatan kita," katanya.

Bagaimanapun, ketika PAP melihat cabaran itu menunggu di hadapan, parti itu juga yakin jawapan untuk mengatasinya boleh diperoleh dalam manifestonya, kata Lee dalam siaran selama 12 minit itu.

Beliau berkata PAP akan mewujudkan peluang pekerjaan dengan gaji yang lebih baik, memastikan pekerja berpendapatan rendah tidak ketinggalan, memperkukuhkan sistem pendidikan untuk semua kanak-kanak serta memastikan golongan warga emas untuk kekal sihat dan aktif.

Untuk perumahan awam, Lee berkata: "Kami dalam proses membina banyak lagi flat HDB. Kami berjanji golongan muda yang berkeluarga akan mendapat flat mereka secepat mungkin pada harga yang mereka mampu".

Isu-isu itu dibangkitkan dalam kempen pembangkang pada Khamis malam.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain