suria

Lagi Serangan Maut Di Pakistan - Lima Terkorban

KARACHI: Sebuah bom meletup di dalam sebuah bas di sini pada Khamis mengorbankan empat pegawai tentera laut Pakistan dan seorang penunggang motosikal berdekatan dalam apa yang disifatkan sebagai serangan ketiga oleh puak Taliban ke atas kenderaan milik tentera laut di bandar ini dalam tempoh seminggu.

Menurut laporan AFP, lebih 12 orang lagi tercedera dalam letupan itu.

Serangan ke atas kenderaan milik tentera laut Pakistan itu dikatakan ada kaitan dengan operasi NATO menyalurkan bekalan kepada 130,000 tentera asing yang diketuai oleh Amerika di Afghanistan sekarang. Operasi itu dilakukan melalui pelabuhan bandar ini.

Dua buah bas tentera laut lagi turut menjadi mangsa serangan pada Selasa, iaitu hanya beberapa hari selepas Panglima Angkatan Tentera Pakistan, Jeneral Ashfaq Kayani mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya kini telah mematahkan tulang belakang rangkaian Taliban dan Al-Qaeda di Pakistan.

Dalam insiden Selasa lalu, empat lagi anggota tentera laut turut terkorban.

Perdana Menteri, Yousuf Raza Gilani telah mengecam serangan tersebut.

Dalam tempoh empat tahun ini, sejumlah 4,240 orang telah menjadi korban keganasan sama ada antara puak yang bertelagah atau mangsa serangan berani mati yang dilancarkan ke atas pasukan keselamatan Pakistan atau serangan pasukan keselamatan ke atas puak militan yang beroperasi sebahagian besarnya di Utara negara tersebut.

Artikel Lain