suria

Lee Kuan Yew Diisytihar Menang Tanpa Bertanding

SINGAPURA: Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew pada Rabu diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas calon lain yang ingin mengemukakan kertas pencalonan untuk bertanding menentangnya pada pilihan raya umum republik itu 7 Mei depan terlewat 35 saat untuk berbuat demikian.

Lee, 87, bersama empat lagi calon dari People's Action Party (PAP) telah diisytiharkan menang tanpa bertanding selepas tempoh penamaan calon tamat tengah hari tadi.

Beliau yang masih berkhidmat dalam kabinet kerajaan Singapura sebagai menteri mentor menjadi perdana menteri pada tahun 1959 selepas Singapura memperolehi hak memerintah sendiri dari Britain.

Lee melepaskan jawatan tersebut pada tahun 1990. Anaknya, Lee Hsien Loong, kini menjadi perdana menteri iaitu sejak 2004 dan akan mengetuai PAP menghadapi pilihan raya umum untuk kali yang kedua.

Walaupun kelihatan agak lemah tetapi Lee yang kematian isterinya Kwa Geok Chew, tahun lalu dipimpin oleh salah seorang anak perempuannya untuk mengemukakan borang pencalonan di sebuah sekolah awam tanpa berjaya dicabar oleh mana-mana calon parti lawan.

Sebenarnya, bukan tidak ada percubaan untuk meletakkan calon tetapi wakil pembangkang hanya terlewat 35 saat untuk mengemukakan borang pencalonan mereka setelah berhempas pulas mengumpul dana untuk dijadikan wang deposit sebanyak S$80,000 sebagaimana yang ditetapkan syarat.

"Saya sebenarnya mengalu-alukan sebarang cabaran di Tanjong Pagar kerana saya telah bertanding di sini sejak tahun 1955 lagi," kata Lee sambil mendapat tepukan gemuruh daripada para penyokongnya.

"Tetapi saya ingin memberi jaminan kepada semua pengundi saya bahawa saya akan menjaga kebajikan anda semua untuk tempoh lima tahun akan datang."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain