Ugutan Nuklear Jika Osama Dibunuh Atau Tangkap - Dunia | mStar

Ugutan Nuklear Jika Osama Dibunuh Atau Tangkap

LONDON: Mereka yang berada di belakang perancangan letupan menara berkembar Pusat Dagangan Dunia New York pada 11 September 2001 memberi amaran bahawa Al-Qaeda akan meletupkan bom nuklear di benua Eropah sekiranya Osama bin Laden ditangkap atau dibunuh, demikian menurut pendedahan maklumat yang disebarkan oleh WikiLeaks.

Malah kumpulan itu juga pernah mengugut akan melakukan sekali lagi serangan sepertimana di Amerika ke atas Lapangan Terbang Heathrow di London.

Maklumat yang didedahkan oleh WikiLeaks itu adalah petikan hasil soal siasat yang dijalankan ke atas perancang utama serangan berani mati 11 September iaitu Khalid Sheikh Mohammed di Kem Tahanan Teluk Guantanamo.

Khalid Sheikh Mohammed memberi amaran bahawa kumpulan pengganas itu akan meletupkan bom nuklear seandainya Osama dibunuh atau ditangkap.

Maklumat itu memberi gambaran mengapa sehingga ke hari ini Osama Bin Laden masih tidak dapat ditangkap atau dibunuh oleh agen-agen Amerika kerana bimbang ia akan mencetuskan impak besar ke atas tindakan membalas dendam oleh para pengikut Al-Qaeda.

Sheikh Mohammed, yang mengaku bertanggungjawab merancang serangan ke atas Amerika pada 11 September 2001 telah ditahan di Guantanamo sejak 2006 dan kini sedang menunggu masa untuk dibicarakan di mahkamah tentera Amerika di Pangkalan Tentera Laut Amerika, Cuba.

Laporan tentang amarannya itu telah disiarkan oleh akhbar harian Britain, Daily Telegraph semalam. Akhbar tersebut merupakan salah satu media yang dibekalkan dengan maklumat tersebut oleh WikiLeaks.

Dalam pada itu, akhbar mingguan terkemuka Jerman, Der Spiegel, yang turut dibekalkan dengan maklumat WikiLeaks berkata, Sheikh Mohammed mendedahkan kepada para interogatornya yang dia telah merancang untuk meletupkan Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow pada tahun 2002.

Pelannya ialah untuk merampas pesawat yang baru sahaja berlepas dari Heathrow dan kemudian dijadikan sebagai umpan untuk merempuh bangunan terminal. Kesemuanya, mereka rancang untuk merempuh empat terminal.

Sheikh Mohammed juga mendedahkan bahawa mereka merancang untuk melatih sukarelawan bagi menjayakan misi ini menjalani latihan penerbangan di Kenya.

Mereka juga merancang untuk menyelusup masuk ke dalam lapangan terbang itu dengan merekrut staf lapangan sebagai anggota, lapor Der Spiegel.

Der Spiegel juga melaporkan satu lagi rancangan serangan telah dibuat pada penghujung tahun 2001 untuk merempuh menara tertinggi di California, Amerika Syarikat juga menggunakan pesawat komersial yang dirampas.

Para pengganas itu dilaporkan merancang untuk memperolehi akses ke dalam kokpit dengan meletupkan pintu kokpit pesawat menggunakan alat peledak kecil yang akan disembunyikan di dalam kasut mereka. Bagaimanapun rancangan ini gagal direalisasikan.

Sheikh Mohammed, yang berjaya ditangkap pada tahun 2003 di Pakistan, juga mendakwa bertanggungjawab melaksanakan hukuman penggal kepala ke atas wartawan Amerika Syarikat berketurunan Yahudi, Daniel Pearl pada tahun 2002 di Pakistan. Malah dia juga mengakui merancang meletupkan Pusat Dagangan Dunia New York pada tahun 1993 yang mengorbankan enam nyawa.

Bekas Presiden Amerika, George W. Bush pernah berkata, teknik soal siasat menggunakan air telah membantu para agen Amerika mengaggalkan percubaan serangan ke atas Heathrow dan daerah dagangan Canary Wharf di London.

Artikel Sebelum

Dunia Memperingati Insiden Chernobyl

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Putrajaya... tak kenal maka tak cinta

PUTRAJAYA dibina atas sebuah impian. Dan berdasarkan beberapa pertimbangan, ia merupakan lokasi impian untuk didiami.

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

Cekap tangani isu sekolah daif, Kementerian Pendidikan sasar selesai tiga tahun lagi

KEMENTERIAN Pendidikan sedang bekerja keras dalam usaha membaiki dan membina semula sekolah yang dalam keadaan daif di seluruh negara.

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain