suria

ATM Sedia Bantu Indonesia Bebaskan Kapalnya Di Teluk Eden - Panglima

KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia membantu kerajaan Indonesia untuk membebaskan sebuah kapal republik itu yang ditahan oleh lanun Somalia sejak 16 Mac lepas, kata Panglima ATM, Jen Tan Sri Azizan Ariffin.

Beliau berkata pihak ATM bagaimanapun masih belum menerima laporan (meminta bantuan) dari kerajaan Indonesia.

"Sekiranya kita berkemampuan dan berada di kawasan itu, kita boleh memberi bantuan, jika perlu. Tapi pada hemat saya segala apa yang berlaku di situ, pasukan antarabangsa termasuk Malaysia begitu bekerjasama. "Antaranya kita saling sama membantu dalam pertukaran informasi dan pelaksanaan operasi di kawasan Teluk Eden...ini terus berjalan dan boleh dikatakan cukup baik," katanya kepada pemberita selepas Majlis menandatangani sijil penyerahan tugas Panglima Angkatan Bersama (PAB).

Menurut harian Indonesia Jakarta Post, rampasan kapal itu berlaku di luar pantai Somalia.

Kapal itu dikendali oleh syarikat perkapalan PT Samudera Indonesia Tbk, dan sedang membawa ferronickel milik syarikat perlombongan Indonesia PT Aneka Tambang dari Indonesia ke Rotterdam di Belanda bila ia dirampas.

ATM mempunyai pengalaman menangani krisis lanun apabila pada 21 Jan lalu, MT Bunga Laurel milik MISC Berhad yang membawa krew seramai 23 orang ditahan lanun Somalia di perairan Teluk Eden.

Bagaimanapun Pasukan Perlindungan Khas (PPK) dari kapal Auxiliary TLDM Bunga Mas 5 berjaya menumpas dan merampas kembali kapal dagang itu dan menangkap tujuh lanun Somalia yang kemudian menghadapi perbicaraan di sini.

Majlis penyerahan tugas itu adalah di antara Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin yang menggantikan Laksamana Madya Datuk Jamil Osman yang kini memegang jawatan Panglima Armada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Laksamana Madya Datuk Ahmad Kamarulzaman adalah panglima ketiga mengisi jawatan PAB yang diwujudkan sejak Julai 2007.

Sementara itu Azizan berkata ATM akan sentiasa membantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang akan menjadi agensi tunggal mengawal perairan negara mulai Ogos depan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain