suria

Letupan Gas Di Punjab, Pakistan, Angka Kematian Mencecah 25 Orang

FAISALABAD, Pakistan: Sebuah kereta yang membawa bahan letupan dipercayai milik kumpulan militan Islam dipercayai terlibat dengan letupan yang berlaku di sebuah stesen gas CNG di wilayah Punjab pada Selasa.

Kejadian tersebut telah mengorbankan 25 orang dan 154 orang lagi tercedera.

Kebanyakan daripada mereka yang cedera terperangkap selama beberapa jam dibawah runtuhan bangunan sebelum diselamatkan oleh pasukan penyelamat.

“Seramai 25 orang terbunuh, sementara 154 orang cedera, dan ada yang berada dalam keadaan kritikal,” kata jurucakap pasukan penyelamat Adnan Khalil kepada AFP.

Selain daripada stesen gas, pejabat syarikat penerbangan, Pakitan International Airlines (PIA) turut musnah dalam letupan tersebut.

“Kerja mencari dan menyelamat hampir selesai. Mangsa yang cedera dan terbunuh dengan kebanyakan daripada mereka ditemui berada di bawah runtuhan bangunan PIA dan stesen gas tersebut,” kata Khalil.

Pihak polis mengesahkan, sehingga kini 22 orang terbunuh.

Sementara pihak hospital berkata mereka yang cedera dirawat dua buah hospital di Faisalabad, Pakistan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Chaudry Riaz Ahmed berkata letupan itu disebabkan oleh bom yang ditanam dalam kereta itu.

“Sebuah kereta Toyota Corolla dilaporkan membawa 40 kilogram bahan letupan dilihat berhampiran dengan stesen gas. Letupan itu berlaku pada kira-kira pukul 10.25 pagi,” katanya.

Tambahnya, letupan tersebut antara yang terburuk kerana ia menyebabkan lebih daripada 50 kenderaan musnah.

Artikel Lain