suria

Peramal Bikin Seluruh New Zealand Kecoh Dengan Gempa Bumi Kedua

CHRISTCHURCH (New Zealand):Gempa bumi yang melanda bandar ini pada 22 Februari lalu yang meragut 240 nyawa sebenarnya telah diramalkan dengan tepat oleh seorang ahli matematik yang mempercayai ilmu mistik dan mengeluarkan amaran menerusi twitter lebih kurang seminggu sebelum kejadian itu berlaku.

Namun begitu, tindak-tanduknya telah dikecam oleh para saintis New Zealand yang menyifatkan perbuatannya itu adalah satu ramalan yang boleh menjejaskan dunia sains serta menjadikan seluruh negara berada dalam situasi panik.

Peramal mistik itu yang bernama Ken Ring tetapi lebih dikenali sebagai "Moonman" mendakwa, beliau membuat ramalan itu berdasarkan pemerhatian dan kajiannya ke atas bulan.

Ken Ring, yang pernah menghasilkan buku yang mengaitkan bulan dengan perubahan cuaca di muka bumi turut berkata, dia secara tepat membuat ramalan ke atas gempa bumi menerusi tweeter pada hari Memperingati Kekasih (Valentine's Day).

Dalam tweetnya itu, Ring menulis; "Potensi gempa bumi antara 15-25 Feb, khususnya 18 Feb untuk Christchurch, atau kurang lebih tiga hari selepas itu."

Ring tweet pada 14 Februari.

Kini para penduduk bandar ini yang masih lagi trauma dengan kejadian pada 22 Februari lalu berasa gentar selepas Ring meramalkan satu lagi gempa bakal melanda Christchurch.

Beliau meramalkan Christchurch bakal dilanda satu lagi gempa bumi yang kuat dalam beberapa hari lagi.

Christchurch sebelum ini telahpun dilanda dua gempa bumi yang kuat dalam tempoh enam bulan yang lalu termasuk beribu gegaran kecil.

"Saya mengharapkan ramalannya kali ini salah tetapi sebagai langkah berjaga-jaga kami akan menghabiskan masa selama seminggu di luar Christchurch," kata seorang guru, Kirsty Carruthers.

Ring berdiri teguh dengan ramalannya kali ini kerana katanya, bulan akan menghampiri bumi dalam tempoh beberapa hari lagi.

Apabila ini berlaku katanya, bumi akan bergegar kerana tarikan graviti bulan ke atas bumi.

Walaupun kata-katanya itu berbaur saintifik dan menjelaskan secara logik kenapa gempa berlaku tetapi ramai saintis mempertikaikannya dengan pakar tektonik Canterbury University, Mark Quigley menyifatkannya sebagai tidak munasabah.

"Ramalan bahawa gempa bumi akan berlaku pada waktu-waktu tertentu tanpa menyatakan kekuatannya, lokasinya dan pada waktu yang tepat tidak menepati ciri-ciri ramalan secara saintifik. Oleh yang demikian, ramalan yang dibuat oleh peramal tersebut (Ring) hanya boleh dilihat sebagai satu langkah mempromosikan diri serta mengambil peluang daripada krisis yang sedang melanda negara kita pada masa ini," ujar Quigley.

Matt Gerstenberger, dari Institut Geologikal dan Sains Nuklear New Zealand pula berkata: "Ramalan yang dikaitkan dengan bulan itu adalah terlalu rendah jadi kaitannya dengan bulan jika ada pun sebarang kebenaran hanyalah terpencil dan benar pada waktu-waktu tertentu sahaja dan lebih banyak tersilap daripada betul."

Pakar statistik dan sistematik New Zealand, David Winter pula dipetik sebagai berkata, hasil daripada kiraannya berdasarkan ramalan Ring itu terlalu kecil untuk dikaitkan sebagai satu ramalan yang tepat.

"Kita memerlukan satu bukti yang benar-benar sahih dan saintifik untuk membenarkan ramalannya berdasarkan kaedah yang beliau gunakan," kata Winter.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bekas PM Turki Meninggal Dunia

Artikel Lain