suria

Kod Etika Cadang Larang Penggubal Undang-Undang Kunjungi Rumah Pelacuran

JAKARTA: Para pengubal undang-undang Indonesia berdepan larangan mengunjungi tempat-tempat yang tidak sesuai seperti pusat perjudian dan rumah pelacuran di bawah kod etika yang dicadangkan di Dewan Perwakilan Rakyat.

Draf kod etika itu mencadangkan penalti berupa amaran bertulis sehingga digantung tugas dan pemecatan sebagai pengubal undang-undang sekiranya mereka didapati melanggar etika itu.

Timbalan Pengerusi Badan Kehormatan Dewan itu, Nurdiman Munir, yang turut terbabit mendraf kod etika itu, menegaskan kod etika baru itu bukan sahaja terpakai untuk penggubal undang-undang di dalam kompleks Dewan tetapi juga di luar kawasan itu sekiranya ia diluluskan, beliau dipetik berkata demikian oleh Jakarta Post pada Khamis.

Pada sidang pleno pada Rabu, kandungan draf itu tidak mampu menyakinkan semua pengubal undang-undang untuk meluluskannya sebagai peraturan Dewan.

Menurut laporan itu, sejumlah pengubal undang-undang, kebanyakannya dari parti pembangkang seperti Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P), Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura) dan Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) membantah proses perumusan draf itu.

"Bagaimana kami nak perakui draf kod etika ini sedangkan wakil dari parti kami tidak terlibat dalam membincangkannya," kata Ahmad Muzani dari Gerindra.

Badan Kehormatan itu dianggotai 11 pengubal undang-undang dari tujuh parti kecuali Gerindra dan Hanura, dua parti dengan jumlah kerusi paling sedikit dalam Dewan.

Timbalan Speaker Dewan Priyo Budi Santoso yang mempengerusikan mesyuarat itu telah menangguhkan perakuan kod etika itu sementara menunggu satu mekanisme yang melibatkan semua parti dalam perbincangan oleh Badan Kehormatan. - BERNAMA

Artikel Lain