suria

Singapura Keluar Amaran Perjalanan Ke Yemen

SINGAPURA: Singapura pada Isnin mengeluarkan amaran perjalanan kepada rakyatnya, menasihatkan mereka supaya mengelak daripada mengunjungi Yemen jika tiada urusan penting buat sementara waktu, ekoran ancaman keselamatan yang semakin bertambah serius di negara itu.

Menteri Luar Singapura dalam satu kenyataan di sini berkata rakyat Singapura yang sudah berada di Yemen pula dinasihatkan supaya mengelak daripada melakukan perjalanan yang tidak penting dalam negara itu, terutama di kawasan di mana rakyat Yemen mengadakan demonstrasi menentang kerajaan.

Kementerian itu turut menasihatkan rakyat Singapura mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk keselamatan diri, dan mereka seharusnya sentiasa berwaspada dan memantau berita-berita penting di negara itu sepanjang masa.

Ia turut menasihatkan rakyat Singapura yang ketika ini berada di Yemen yang bimbang dengan keadaan keselamatan, supaya meninggalkan negara itu.

Pihak kementerian juga berkata rakyat Singapura yang merancang untuk ke Yemen atau yang sudah berada di negara itu, supaya mendaftar secara online dengan pihak kementerian di alamat http://eregister.mfa.gov.sg/ bagi membolehkan pihak kementerian menghubungi mereka dan memberikan bantuan yang diperlukan di waktu kecemasan. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain