suria

Pasukan Tentera British Akan Kehilangan Kelengkapan Bernilai Pound Sterling 12 Bilion

LONDON: Adalah dianggarkan angkatan bersenjata Britain akan kehilangan perbekalan kelengkapan senjata bernilai hampir Pound Sterling 12 bilion sekiranya kerajaan bersetuju untuk memotong bajet ketenteraan sebagai langkah terakhir berjimat cermat untuk mengurangkan defisit awam.

Menurut akhbar berpengaruh the Times, Isnin, kerajaan telah pun mengumumkan pada bulan Oktober yang lalu untuk mengkaji sama ada wujudnya keperluan menghentikan perkhidmatan pesawat buatan British, Harrier dan juga kapal pengangkut pesawat, Ark Royal.

Rancangan untuk membina pesawat pengintip yang diberi nama Nimrod bernilai Pound Sterling 4 bilion telahpun digugurkan.

Kata akhbar itu lagi parlimen hanya akan melihat perincian kos bajet yang dianggarkan untuk pemotongan lewat hari ini.

Adalah difahamkan, lain-lain kelengkapan tentera atau peralatan yang bakal turut menjadi mangsa termasuklah jet pejuang British paling popular selepas Harrier iaitu Tornado.

Malah sebuah lagi akhbar iaitu the Telegraph mendakwa bahawa kerajaan juga akan turut menguggurkan sebahagian daripada pelatih program latihan penerbangan ke atas 100 orang bakal juruterbang Tentera Udara Diraja Britain.

"Kami telah menghabiskan masa selama empat tahun menjalani latihan untuk menjadi juruterbang terlatih dan tiba-tiba kerajaan mengambil keputusan untuk menyingkirkan sebahagian daripada kami," kata salah seorang pelatih ketika dihubungi oleh akhbar berkenaan.

Bagaimanapun langkah berjimat cermat itu mendapat reaksi yang negatif daripada pakar-pakar tentera dan bekas pegawai-pegawai tinggi tentera yang cuba mengingatkan kerajaan bahayanya langkah itu kepada keselamatan negara sekira ia diteruskan juga.

Dalam sepucuk surat terbuka kepada kerajaanr, bekas panglima angkatan tentera Britain berkata, langkah menguggurkan program pembinaan pesawat pengintip Nimrod misalnya hanya akan mewujudkan jurang yang sangat besar antara angkatan bersenjata negara itu dengan kuasa-kuasa besar yang lain.

“Ia adalah langkah keterbelakang untuk sistem pertahanan British,” kata surat berkenaan.

Malah dalam beberapa surat yang dikirimkan kepada media massa Britain yang lain, beberapa bekas panglima Tentera Laut Diraja mengingatkan kerajaan, keputusan untuk memotong bajet ketenteraan dengan menghentikan operasi jet pejuang seperti Harrier dan kapal pengangkut pesawat tunggal mereka hanya akan meletakkan kedaulatan kepentingan Britain seperti Kepulauan Falkland di dalam bahaya serta ancaman serangan oleh pihak lain yang berkepentingan.

Artikel Berikut

Artikel Lain