suria

PM Jordan Lantik Bekas Pemimpin Ikhwan Muslimin & Golongan Kiri Dalam Kabinet

AMMAN: Perdana Menteri Jordan yang baru dilantik, Maaruf Bakhit, Khamis mengumumkan senarai kabinetnya yang baru termasuk melantik bekas pemimpin gerakan Ikhwan Muslimin sebagai menteri Hal Ehwal Agama.

Raja Abdullah II pada awal bulan ini telah memecat kabinetnya setelah rakyat menyuarakan rasa tidak puas hati mereka di atas pentadbiran kerajaan lama yang lembab dan tidak bermaya.

Barisan 26 anggota kabinet yang baru dilantik ini termasuklah Abdelrahim Akur, yang suatu ketika dahulu pernah memimpin Ikhwan Muslimin di Jordan.

Manakala lima lagi muka baru yang dilihat mirip berhaluan kiri ialah Hussein Mjalli, yang dilantik sebagai menteri Undang-Undang; Mazen Saket (Pembangunan Politik); Tarek Massarweh (Kebudayaan); Samir Habashneh (Pertanian) dan seorang pengarang kanan akhbar Taher Adwan (Penerangan).

Pelantikan Abdelrahim mendapat perhatian ramai kerana kepimpinan terkini Ikhwan Muslimin telah menolak tawaran untuk menyertai kabinet kerajaan baru.

Bakhit, 64, berhadapan dengan cabaran yang sukar jika situasi terkini yang sedang melanda dunia Arab diambil kira.

Jordan sepertimana Mesir juga sedang berhadapan dengan kebangkitan rakyat yang inginkan amalan-amalan demokrasi diperluas dan dilaksanakan secara telus khususnya dalam soal pilihan raya bebas.

Sebahagian besar dunia Arab sama ada masih diperintah oleh sistem monarki mutlak atau sistem autoritarian yang tidak menyaksikan sebuah kerajaan yang dipilih secara demokratik diamalkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain