suria

Najib Berlepas Ke UAE Untuk Lawatan Kerja Sehari

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berlepas ke Abu Dhabi untuk melakukan lawatan kerja sehari ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE), pada Sabtu.

Diiringi isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, dan beberapa pegawai kanan kerajaan, Najib berlepas dengan pesawat khas dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (RMAF) Subang di sini pada kira-kira pukul 3 petang selepas tiba dari Sabah pada kira-kira pukul 2.25 petang.

Di Abu Dhabi, Perdana Menteri dijadual melancarkan Invest Malaysia 2011 Magazine di Emirates Palace Hotel, anjuran bersama Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida), Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi, Focus International dan Arabian Business.

Beliau juga dijadual menyaksikan upacara menandatangani Perjanjian Rangka Kerja mengenai Kerjasama Ekonomi, Pelaburan dan Teknikal (FAECITC) antara Malaysia dan negara anggota Majlis Kerjasama Negara Arab Teluk (GCC) yang akan merintis jalan kepada rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara Malaysia dan GCC.

Pelancaran Invest Malaysia 2011 Magazine dan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja antara Malaysia dan GCC itu dijangka meningkatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara anggota GCC.

Lawatan Najib juga menjadi simbol hubungan erat yang terjalin antara Malaysia dan UAE. - BERNAMA

Artikel Lain