suria

Kumpulan Baju Kuning Diberi Amaran Jangan Tutup Sempadan Thailand-Kemboja

BANGKOK: Kerajaan Thailand memberi amaran kepada para penyokong kumpulan Baju Kuning supaya tidak menutup sempadan utama Thailand-Kemboja untuk menekan kerajaan Kemboja supaya membebaskan tujuh rakyat Thailand yang ditahan di negara itu.

Timbalan perdana menteri yang bertanggungjawab bagi hal ehwal keselamatan Suthep Thaugsuban berkata kerajaan tidak akan membiarkan mereka bertindak demikian.

Kata beliau perbuatan menutup pusat pemeriksaan sempadan adalah tindakan yang mencabuli hak orang lain.

"Saya telah minta pihak berkuasa sempadan diletakkan dalam keadaan bersiap siaga dan menjalankan tugas mereka seperti biasa," katanya di sini.

Pada Rabu, Thai Patriots Network, sebuah kumpulan serpihan Yellow Shirts People's Alliance for Democracy (PAD) mengancam akan menutup pusat pemeriksaan Aranyaprathet-Poipet di daerah Aranyaprathet untuk memberi tekanan kepada kerajaan Kemboja supaya membebaskan tujuh rakyat Thailand yang ditahan itu.

Setiap tahun, barangan bernilai 30 bilion Baht (kira-kira RM3 bilion) diangkut melalui pintu sempadan itu.

Kumpulan berkenaan memilih pintu sempadan itu sebagai sasaran mereka kerana daerah Poipet di Kemboja menempatkan banyak kasino, yang merupakan antara sumber utama pendapatan Kemboja di kawasan sempadan antara kedua-dua negara, yang sering dikunjungi warga Thailand.

Kumpulan Baju Kuning terkenal kerana tindakan mereka yang menyebabkan penutupan Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Lapangan Terbang Don Muang Airport pada November 2008.

Kini, anggota Thai Patriots Network mengadakan demonstrasi di hadapan Rumah Kerajaan di sini yang menempatkan pejabat perdana menteri.

Mereka menuduh kerajaan tidak berusaha secukupnya untuk membebaskan tujuh rakyat Thailand yang ditahan itu.

Mereka yang ditahan itu termasuk bekas Timbalan Menteri bagi Hal Ehwal Luar Panich Vikitsreth dan pemimpin PAD Veera Somkwamkid, yang dihadapkan ke mahkamah pada 6 Jan atas tuduhan memasuki Kemboja secara haram dan memasuki sebuah kem tentera tanpa kebenaran, akhir tahun lepas.

Setiap mereka boleh dikenakan hukuman penjara 18 bulan jika sabit kesalahan.

Veera dan setiausahanya Ratree Pipatanapaiboon dikenakan tuduhan tambahan iaitu melakukan pengintipan, yang boleh dikenakan hukuman penjara antara lima dan 10 tahun jika didapati bersalah.

Sementara itu, Ketua Polis Sa Kaeo, Mejar Jeneral Theerayuth Thammasaroj mengerahkan polis mengetatkan pemeriksaan di kawasan sempadan, terutama untuk mengesan senjata. - BERNAMA

Artikel Lain