suria

Malaysia Pertingkat Dagangan Dengan India

NEW DELHI: Didorong oleh permintaan yang semakin meningkat bagi produk kayu di India, Malaysia menyusun rancangan untuk memperluas perdagangan kayunya dengan negara ini, iaitu dengan meningkatkan eksport dan mempelawa syarikat India melabur di Sarawak.

Satu perwakilan yang diketuai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk G. Palanivel dan Majlis Kayu Malaysia tiba di sini untuk berunding dengan peserta-peserta tempatan.

India adalah pasaran eskport ketiga terbesar bagi kayu dan produk berasaskan kayu Malaysia, dengan nilai eksport berjumlah RM1.3 bilion pada 2009.

Dengan permintaan India bagi kayu dan produk berkaitan kayu meningkat sekali ganda setiap tiga tahun, sebahagian besarnya dipacu oleh ekonomi yang semakin makmur, ia boleh menjadi pasaran berpotensi bagi pengeksport Malaysia, kata peserta industri.

"India adalah pengimport utama produk berasaskan kayu kita; kita mahu meningkatkan eksport produk siap dan separa siap.

"Kita juga ingin menceburi kegiatan hiliran di India dan mempelawa syarikat India ke Malaysia untuk mengadakan usaha sama," kata Palanivel.

Selain perniagaan, Malaysia juga sedang mengkaji pilihan untuk mengadakan operasi di India dan mengeksport produk berasaskan kayu ke pasaran antarabangsa.

"Kita juga boleh menggunakan India sebagai batu loncatan untuk mengeksport ke negara ketiga. Jika kita datang ke India, ada banyak insentif. Jika mereka datang ke Malaysia, syarikat India boleh mengeksport produk siap ke negara-negara Asean," katanya.

Pada satu sesi dialog Khamis, Palanivel menegaskan bahawa Malaysia merupakan negara yang sangat prihatin terhadap alam sekitar dan mengamalkan pembangunan hutan mampan.

Kata beliau kerajaan bercadang menanam 375,000 hektar dengan spesi kayu menjelang 2020 bagi memastikan bekalan kayu berterusan.

Palanivel, yang akan berada di New Delhi dari 5 hingga 9 Januari, juga akan menghadiri persidangan Pravasi Bharatiya Divas pada hujung minggu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain