suria

Indonesia Galak Asean Mengutamakan Rakyat

JAKARTA: Indonesia akan menggalakkan Asean berpaksikan rakyat semasa tempoh menjadi pengerusi pertubuhan serantau itu pada tahun ini, kata Wakil Tetap Indonesia ke Asean, Duta I Gede Ngurah Swajaya, Khamis.

ASEAN berpaksikan rakyat adalah kunci untuk menjadikan pertubuhan itu relevan kepada rakyat dan mencapai objektif Komuniti Asean, katanya pada mesyuarat rasmi pertama yang dipengerusikan oleh Indonesia di sini.

Baru-baru ini, semasa taklimat oleh Setiausaha Agung Asean Dr Surin Pitsuwan di Istana Merdeka (kediaman rasmi presiden Indonesia), Presiden Susilo Bambang Yudhoyono juga berkata beliau ingin melihat penglibatan besar rakyat dalam aktiviti-aktiviti Asean.

Susilo berkata Indonesia bersedia bekerjasama dari segi persediaan hingga pelaksanaan aktiviti Asean dengan golongan pemuda, pelajar, masyarakat peniaga dan pertubuhan kemasyarakatan.

Menurut kenyataan Sekretariat Asean selepas mesyuarat hari ini, Ngurah mengingatkan Asean supaya mengekalkan momentum ke depan selain memperkukuhkan perpaduan dalaman.

"Mendalami hubungan ekonomi dan saling hubungan seperti termaktub dalam Rangka Komuniti Asean juga penting," katanya.

Indonesia secara rasmi mengambilalih jawatan pengerusi Asean daripada Vietnam pada 1 Januari lepas.

Kemboja akan menjadi pengerusi Asean tahun depan diikuti Brunei Darussalam pada 2013. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain