suria

Myanmar Perlu Hormati Hak Dan Kebebasan Rakyatnya

KUALA LUMPUR: Myanmar perlu menghormati sepenuhnya hak dan kebebasan asas rakyatnya, sejajar dengan pembebasan Aung San Suu Kyi daripada tahanan rumah Ahad lepas, kata Forum Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan Asia Tenggara (SEANF).

Forum dua hari itu, yang berakhir hari ini juga menggesa kerajaan Myanmar supaya memberi jaminan tiada siapa yang akan ditangkap, ditahan atau dibuang negeri secara sembarangan oleh pihaknya.

"Suu Kyi dan rakyat daripada semua lapisan masyarakat perlu diberi peluang untuk melibatkan diri dalam proses politik, tanpa dikenakan sebarang ancaman," kata anggota SEANF Prof Datuk Dr Khaw Lake Tee pada akhir forum itu di sini.

Khaw, yang juga Naib Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia(Suhakam) berkata pembebasan pemimpin demokrasi Myanmar itu juga merupakan sebahagian daripada kemenangan suatu perjuangan panjang untuk menegakkan demokrasi di Myanmar, di samping membuka jalan ke arah pembebasan tahanan politik lain di negara itu.

SEANF adalah kumpulan sub rantau Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan(NHRIs) yang dianggotai NHRI dari Asia Tenggara - Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Indonesia (Komnas HAM), Suhakam, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Filipina (CHRP) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Thailand (NHRCT).

Khaw berkata SEANF akan terus berbincang dengan kerajaan Myanmar dan Suu Kyi untuk meneroka cara yang boleh dilaksanakannya bagi memastikan hak asasi pejuang demokrasi itu serta rakyat negara berkenaan sentiasa dilindungi.

Katanya pertubuhan bukan kerajaan itu juga akan mewujudkan jalinan kerjasama yang boleh menyumbang kepada terbentuknya inisiatif oleh kerajaan di negara terbabit serta pertubuhan masyarakat sivil dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia, khususnya wanita dan kanak-kanak.

"Kami juga merancang untuk mengemukakan laporan tentang isu berkaitan pekerja asing di rantau Asia Tenggara kepada kerajaan, Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) dan Jawatankusa Asean Mengenai Pekerja Asing (ACMW)," katanya.

Khaw berkata laporan itu akan mengandungi syor untuk menambah baik keadaan pekerja asing di Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand. -BERNAMA

Artikel Lain