suria

Suasana Kiamat Di UGM Selepas Hujan Abu Dan Kerikil Di Yogyakarta

SOLO: Suasana sepi yang serba putih tanpa sebarang pergerakan seperti dunia telah kiamat, itu adalah gambaran di Fakulti Perubatan Universiti Gadjah Mada (UGM) Yogyakarta, 26 km dari Gunung Merapi, pagi Jumaat daripada pandangan seorang penuntut Malaysia.

Letusan Gunung Merapi yang paling dahsyat pada pukul 12.46 pagi semalam mengakibatkan ratusan penduduk di sekitar gunung berapi paling aktif di dunia itu terkorban akibat terkena awan panas manakala ramai lagi yang cedera.

Semburan awan panas "wedhus gembel" setinggi 8,000 meter itu telah menerbangkan hujan abu volkanik dan hujan kerikil ke kota Yogyakarta, ibu kota lama Indonesia.

"Keadaannya amat menyeramkam sekali, kereta yang diselimuti abu putih kelihatan seperti tidak pernah dicuci selama beberapa tahun.

"Terasa seperti saya dan sahabat saya sahaja yang terselamat daripada kiamat pada masa itu apabila kami berjalan di kawasan fakulti itu pukul 6.45 pagi menuju kelas semalam," kata Srijesh Sobha Kumar, 20.

Penuntut tahun pertama dari Kepong, Selangor itu berkata apabila menerima SMS bahawa semua penuntut Malaysia di universiti itu akan dipindah dan dihantar pulang ke Malaysia, beliau menjadi cemas kerana bimbang akan ketinggalan daripada kumpulan itu.

Bantuan seorang pelajar senior membawanya pulang ke asrama dengan motosikal pada masa itu benar-benar melegakan hati, apalagi apabila mendapat tahu semua penuntut lain sudah bersedia untuk dipindahkan.

Itulah pengalaman yang tak akan dilupakan Srijesh, yang sejak awal tahun ini telah mengalami beberapa peristiwa baru yang mengejutkan dalam kehidupannya iaitu gempa bumi, ribut taufan dan demonstrasi anti-Malaysia di kota Yogyakarta.

Srijesh yang menceritakan pengalaman itu di sini Sabtu berkata hujan abu dan kerikil yang turun di Yogyakarta pada Khamis malam itu juga menjadikan beliau berasa takut keadaan lebih buruk akan berlaku di Yogyakarta.

"Tengah malam itu masa kami hendak memotong kek Deepavali, kami terdengar bunyi guruh yang kuat di langit, bunyi itu berulang-ulang tanpa henti dan tak lama lepas itu kami dengar bunyi batu-batu kecil menimpa bumbung di atas tingkap asrama.

"Orang tempatan kata jika Merapi sudah menurunkan hujan kerikil, ia akan diikuti dengan gempa bumi, inilah yang paling menakutkan saya," katanya.

Srijesh, yang menunggu untuk pulang Malaysia dengan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pagi esok bersyukur kerana Kerajaan Malaysia telah membuat keputusan untuk membawa pulang penuntut Malaysia di sini.

Seorang lagi pelajar Nur Taufiqah Idris, 22, dari Greenwood, Gombak, Selangor berkata beliau bersyukur mereka akhirnya akan dibawa pulang ke Malaysia setelah beberapa kali menunggu saat ini.

"Kami telah bersedia dengan beg pakaian sejak Merapi meletus kali pertama pada 26 Okt lepas dan apabila hujan abu volkanik turun pada hari Sabtu lepas, saya sudah ketakutan," katanya.

Sementara itu Ketua Multimedia, Penerbitan dan Komunikasi Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Yogyakarta William Chin Jian Wei, 22, berkata persatuan itu telah bersiap sedia dengan sistem komunikasi yang telah teruji dalam usaha menyebarkan maklumat penting kepada penuntut Malaysia.

Penuntut tahun empat fakulti perubatan UGM itu berkata sistem komunikasi melalui penghantaran SMS itu dapat menyampaikan pesanan penting dan nasihat agar penuntut bersedia untuk dipindahkan pagi semalam.

Presiden Kelab Umno Luar Negara cawangan Yogyakarta Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin, 25, berkata sejumlah 386 penuntut Malaysia akan dihantar pulang ke Malaysia awal pagi, Ahad.

Difahamkan penuntut-penuntut itu akan diterbangkan pulang dengan pesawat C130 TUDM awal pagi Ahad.

Chin berkata 21 pelajar kedoktoran UGM memilih untuk tidak pulang ke Malaysia sebaliknya akan tinggal di Solo sehingga keadaan selamat kerana mereka terikat dengan tugasan klinikal. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

54 Korban Terbaru Gunung Merapi

Artikel Lain