suria

Presiden Autralia Lawat Malaysia Ahad Ini

KUALA LUMPUR: Presiden Austria, Dr Heinz Fischer akan mengadakan lawatan tiga hari ke Malaysia, bermula Ahad ini bagi menggalakkan persefahaman lebih rapat antara kedua-dua negara.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar berkata lawatan itu akan turut meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, teknologi komunikasi dan maklumat, tenaga yang diperbaharui, teknologi hijau, perkhidmatan kesihatan dan pelancongan.

"Lawatan ini akan menyediakan peluang untuk sektor swasta di kedua-dua negara melihat kemungkinan menjalinkan hubungan perdagangan dan ekonomi lebih erat, khususnya dalam usaha Malaysia melancarkan Program Transformasi Ekonomi untuk menjadi negara berpendapatan tinggi," katanya.

Dr Fischer, dalam lawatan sulungnya ke negara ini, akan diiringi isteri Margit Fischer, beberapa menteri, pegawai kanan dan delegasi perniagaan.

Ketika lawatan itu, Dr Fischer akan diraikan pada satu jamuan negara oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Presiden itu juga akan merasmikan Forum Perniagaan Austria-Malaysia pada 8 November dan dijadual melawat Melaka.

Dr Fischer juga akan melawat Indonesia dan Singapura dalam kunjungannya ke rantau ini. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Banjir Di Hat Yai Semakin Pulih

Artikel Lain