suria

Kecacatan Pada Rekabentuk Mungkin Punca Kebakaran Enjin A380 Qantas

SYDNEY: Syarikat penerbangan Australia, Qantas berkata, kecacatan pada rekabentuk enjin pesawat superjumbo terbesar di dunia, Airbus A380 mungkin menjadi punca kebakaran kepada salah satu enjinnya yang mendesak pesawat itu melakukan pendaratan kecemasan di Singapura.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Joyce berkata, siasatan awal menunjukkan terdapatnya kemungkinan berlaku kegagalan material atau rekabentuk pada enjin Rolls-Royce pesawat yang sedang dalam penerbangan dari Singapura ke sini.

Ketika dalam penerbangan balik ke Singapura sebahagian daripada kepingan enjin pesawat itu telah jatuh di tengah-tengah pekan Batam. Bagaimanapun Joyce berkata, lima lagi pesawat superjumbo A380 milik Qantas akan dibenarkan terbang semula dalam beberapa hari lagi setelah para jurutera berpuashati tidak ada apa-apa kecacatan pada enjin-enjin pesawat berkenaan.

"Ini adalah isu berkaitan dengan material yang digunakan dalam enjin atau berkaitan rekabentuk enjin bukannya soal penyelenggaraan. Enjin A380 diselenggarakan oleh Rolls-Royce," kepada Joyce.

Joyce juga mendedahkan selepas pesawat itu mendarat semula di Singapura, satu lagi enjin bersebelahan dengan enjin yang terbakar tidak dapat dimatikan sekaligus mencetuskan kebimbangan terhadap apa yang telah berlaku.

Insiden yang mencemaskan ini telah meletakkan Airbus A380 dalam situasi yang sukar selepas tiga tahun memasuki perkhidmatan tanpa sebarang insiden besar melainkan beberapa kegagalan pada sistem komputernya dan juga sistem minyak.

Pada April tahun ini, tayar pesawat Qantas juga dari model A380 telah meletup ketika mendarat di sini dari Singapura.

Airbus telahpun memberi jaminan yang ia akan mengirim sepasukan jurutera ke sini untuk melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas pesawat malang berkenaan.

Qantas mempunyai rekod perkhidmatan yang bersih dan pesawatnya tidak pernah terhempas atau berhadapan dengan insiden buruk yang membawa maut kepada penumpang dalam tempoh 90 tahun.

Pesawat Airbus A380 yang menghadapi masalah itu adalah yang pertama diterimanya pada tahun 2008 dan baru-baru ini telah menjalani proses penyelenggaraan utama.

Pesawat malang itu telah melakukan 831 penerbangan dengan jarak penerbangan 8,165 jam.

Pengeluar enjin, Rolls-Royce bagaimanapun menggesa semua pemilik pesawat itu melakukan pemeriksaan asas semula sebagai langkah berwaspada.

Buat masa ini terdapat 37 buah pesawat A380 yang sedang dalam perkhidmatan di seluruh dunia. Singapore Airlines (SIA) merupakan syarikat penerbangan antarabangsa yang pertama menggunakan perkhidmatan pesawat gergasi ini pada tahun 2007.

Sejumlah 234 buah pesawat A380 lagi sedang dalam pembinaan.- AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Banjir Di Hat Yai Semakin Pulih

Artikel Lain