Bantuan Kemanusiaan Malaysia Untuk Mangsa Bencana Tsunami Mentawai Tiba Di Sikakap - Dunia | mStar

Bantuan Kemanusiaan Malaysia Untuk Mangsa Bencana Tsunami Mentawai Tiba Di Sikakap

JAKARTA: Kapal yang membawa bantuan kemanusiaan Malaysia buat mangsa bencana tsunami Mentawai, Indonesia, tiba di Sikakap petang ini selepas melalui perjalanan mencabar, dilanda ribut dan gelombang ombak, Jumaat.

Misi kemanusiaan oleh Mercy Malaysia yang dianggotai sukarelawan dari badan itu sendiri serta enam pelajar Malaysia, membawa pelbagai ubat, alat kesihatan, makanan, selimut, susu bayi dan air minuman seberat 2.5 tan, yang bernilai kira-kira RM50,000.

Kapal berkenaan menempuh perjalanan kira-kira 28 jam sebelum tiba di Sikakap pada pukul 6 petang.

Anggota Majlis Eksekutif Mercy Malaysia Norazam Ab Samah berkata bantuan kemanusiaan itu adalah untuk mangsa yang terselamat dalam bencana tsunami yang melanda pantai barat Pagai Selatan dan Pagai Utara.

"Perjalanan kami tergendala selepas sejam berangkat, apabila terpaksa mengharungi hujan dan badai yang cukup kuat. Kami dinasihatkan agar berlindung di Pulau Marak sehingga keadaan laut kembali tenang," katanya ketika dihubungi, Sabtu.

Konsul Jeneral Malaysia di Medan Norlin Othman berkata misi bantuan kemanusiaan Malaysia itu melibatkan enam sukarelawan Malaysia yang merupakan pelajar kedoktoran Universiti Andalas, Padang.

"Semua pelajar itu adalah wanita, dan mereka akan membantu sukarelawan Malaysia membuka klinik bergerak untuk mangsa bencana," katanya.

Sementara itu Norazam berkata turut serta dalam misi kemanusiaan Malaysia itu ialah penyelaras Pasukan Perubatan Mercy Malaysia Che Tah Hanafi.

Beliau berkata Mercy Malaysia bercadang menghantar satu lagi pasukan ke kawasan bencana esok untuk menyediakan khidmat perubatan di kawasan itu selama dua minggu.

Pasukan kedua itu terdiri daripada seorang doktor perubatan (Dr Mohammad Iqbal Omar), seorang pembantu perubatan (Chee Fook Wah) dan dua jurulojistik (Che Mahmud Mohd Nordin dan Khairul Masnizam Abdullah).

Sejak bencana tsunami berlaku sejurus selepas gempa bumi dengan kekuatan 7.7 pada skala richter melanda pada hari Isnin malam itu, pasukan mencari dan menyelamat sudah menemui 413 mayat, manakala lebih 300 lagi masih dilaporkan hilang.

Lebih 13,000 mangsa terselamat kini ditempatkan di beberapa pusat pemindahan dan memerlukan pelbagai bantuan kemanusiaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Abu Volkanik Merapi Sampai Kota Yogyakarta

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Jom kongsi idea! Penduduk bandar diajak beri maklum balas draf Pelan Pembangunan KL

TRAJEKTORI perumahan dan komersial Kuala Lumpur diberikan perhatian dengan mendraf Pelan Pembangunan Kuala Lumpur 2040 (PPKL 2040).

default image

TMM2020: “Malaysia ada makanan sedap, banyak tempat indah dan membeli-belah pun murah” - Muhamaddin Ketapi

MALAYSIA menetapkan sasaran 30 juta pelancong dengan sasaran pendapatan sehingga RM100 bilion untuk TMM2020.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Pelan Pembangunan KL... inilah harapan warga kota

INFRASTRUKTUR dan pengurusan bandar yang lebih baik merupakan perkara teratas dalam senarai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL) yang ingini penduduk Kuala Lumpur.

Artikel Lain