suria

Korban Banjir Thai Meningkat Kepada 11 Orang

BANGKOK: Keadaan banjir di negara ini bertambah buruk dengan enam lagi dilapor maut hari ini, menjadikan jumlah korban banjir kini meningkat kepada 11 orang.

Enam lagi daerah di wilayah tengah dilanda banjir hari ini apabila air Sungai Chao Phraya dari utara turun ke wilayah itu kira-kira pukul 5 petang, menjadikan 17 wilayah kini terjejas akibat banjir.

Ketua Pengarah Jabatan Kawalan Bencana dan Mitigasi Wiboon Sangaunpong berkata enam kematian yang dilapor hari ini membabitkan empat dari wilayah Buri Ram, dan masing-masing seorang dari wilayah Rayong dan Trat. Semalam, lima kematian dicatat, tiga dari Nakhon Ratchasima dan dua dari Lop Buri.

Enam wilayah yang dilanda banjir hari ini ialah Sing Buri, Chai Nat, Ang Thong, Pathum Thani, Ayutthaya dan Nonthaburi.

Dengan perkembangan baru itu, kira-kira suku daripada Thailand kini dilanda banjir berikutan 17 dari 77 wilayah terlibat dalam bencana itu, membabitkan 3,973 kampung di 101 daerah.

Menteri Kesihatan Awam Jurin Laksanavisit hari ini mengumumkan rawatan percuma diberi kepada semua mangsa banjir yang mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Keadaan banjir di Nakhon Ratchasima, wilayah yang paling teruk terjejas, dijangka pulih pada pertengahan November. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Gempa Bumi Lemah Di Davao

Artikel Berikut

Artikel Lain