suria

Mahkamah Perth Arah Lelaki Keluar, Wanita Islam Buka Tudung Muka Beri Keterangan

MELBOURNE: Seorang hakim mengarahkan beberapa lelaki keluar daripada sebuah Mahkamah di Perth bagi membolehkan seorang saksi wanita memberi keterangan tanpa memakai tudung muka atau "niqab".

Bagaimanapun, larangan terhadap wartawan lelaki dan beberapa yang lain di galeri awam itu tidak melibatkan 19 lelaki, termasuk 12 juri, yang terus dibenarkan berada dalam Mahkamah Daerah berkenaan hari ini, demikian menurut laporan "The Australian" secara online.

Wanita itu, yang hanya dikenali sebagai Tasneem, membuka tudung di bahagian mukanya ketika memberi keterangan menerusi sambungan video dari sebuah bilik lain di kompleks mahkamah berkenaan.

Organisasi media merayu kepada Hakim Shauna Deane supaya wartawan lelaki dibenarkan berada di dalam mahkamah itu, namun permohonan mereka ditolak.

Hanya lelaki yang mempunyai kaitan dengan perbicaraan itu dibenarkan berada di kawasan itu, putus hakim berkenaan.

Dalam sebuah bilik kecil, rambut Tasneem ditutup oleh skaf hitam atau "hijab" dan beliau memakai jubah panjang gelap.

Pada mulanya, beliau mahu memberi keterangan dengan memakai pakaian asal yang bertutup penuh, namun pada awal tahun ini, Hakim Deane memutuskan bahawa saksi tersebut perlu membuka sebahagian daripada pakaiannya, terutama di bahagian muka, untuk membantu juri menilai testimoninya.

Bercakap kepada juri sebelum Tasneem memberi keterangan, Hakim Deane berkata tindakan memberi keterangan melalui video adalah perkara biasa dan mereka diingatkan supaya tidak memberikan pendapat yang tidak baik mengenai cara saksi itu memberi keterangan.

Tasneem menjadi saksi pada perbicaraan kes Anwar Sayed yang didakwa menipu kerajaan Australia dan kerajaan negeri Australia Barat sebanyak A$750,000 ketika menjadi pengetua Kolej Wanita Islam di Perth pada 2006.

Anwar menafikan pertuduhan bahawa dia telah melakukan kesalahan itu di kolej tempat Tasneem mengajar pengajian Islam secara sambilan. - BERNAMA

Artikel Lain