suria

Lelaki Singapura Disabitkan Kesalahan Bekal Senjata Kepada Harimau Tamil

SINGAPURA: Sebuah mahkamah Amerika hari ini mensabitkan kesalahan seorang lelaki Singapura yang terlibat dalam komplot membeli senjata untuk dibekalkan kepada kumpulan pemisah Harimau Tamil Sri Lanka.

Dalam kenyatan akhbarnya, Pejabat Peguam Amerika Maryland berkata panel juri di Baltimore mensabitkan kesalahan Balraj Naidu, 48, kerana cuba membeli alat pelancar bom, rifel, mesingun dan pelbagai jenis senjata canggih lain untuk Harimau Tamil.

Pada 1997, Jabatan Negara Amerika mengklasifikasikan Harimau Tamil sebagai Pertubuhan Pengganas Asing dan oleh itu tidak dibenarkan mengumpul derma atau membeli peralatan operasi di negara itu.

Berdasarkan bukti yang dikemukakan pada perbicaraan kes itu, Naidu dan anggota komplot berkenaan cuba membeli senjata canggih dari China, Thailand, Korea Utara, Filipina dan Indonesia untuk Harimau Tamil bagi kegunaan menentang pasukan tentera kerajaan Sri Lanka.

Bagaimanapun, beberapa peniaga senjata enggan membekalkan senjata kepada lelaki berkenaan dan rakan-rakannya apabila mengetahui ia akan dibekalkan kepada kumpulan pengganas itu.

Pada April 2006, Naidu diperkenalkan kepada seorang ejen sebuah syarikat di Maryland yang kononnya berminat untuk menjual senjata.

Pada bulan-bulan berikutnya, bukti menunjukkan dia cuba membeli senjata buatan Amerika untuk dihantar ke beberapa lokasi di perairan antarabangsa di luar pantai Sri Lanka.

Dalam perancangannya, senjata berkenaan akan diseludup oleh Harimau Laut iaitu cawangan laut kumpulan Harimau Tamil.

Seorang lagi warga Singapura yang menganggotai komplot berkenaan dikenali sebagai Haniffa Bin Osman berkunjung ke Baltimore pada 2006 untuk memeriksa dan menguji senjata berkenaan.

Selepas kunjungan itu, wakil Harimau Tamil memindahkan wang US$250,000 ke dalam akaun syarikat yang menyamar itu sebagai bayaran pendahuluan untuk pembelian senjata berharga US$900,000.

Berikutan itu, senjata dan peluru seberat 28 tan yang komplot itu percaya telah dibelinya, diangkut dengan kapal terbang ke Guam, sebuah wilayah Amerika.

Pada 29 September 2006, selepas memeriksa senjata berkenaan dan memindahkan bayaran sebanyak US$450,000 lagi ke dalam akaun syarikat yang menyamar itu, mereka yang menganggotai komplot bersama Naidu itu telah ditangkap dan didakwa.

Haniffa, 59, bersama warga Indonesia Haji Subandi, 73, bekas jeneral Pasukan Marin Indonesia Erick Wotulo dan warga Sri Lanka Thirunavukarasu Varatharasa, 40, dijatuhi hukuman penjara antara 30 bulan dan 57 bulan setelah mengaku bersalah menganggotai komplot itu.

Penyiasatan berikutnya membawa kepada pendakwaan Naidu dan seorang yang didakwa membiayai aktiviti Harimau Tamil atas tuduhan menganggotai komplot untuk membekalkan peralatan sokongan kepada kumpulan pengganas itu dan kesalahan lain.

Naidu menghadapi hukuman maksimum penjara 15 tahun kerana menganggotai komplot untuk membekalkan peralatan sokongan kepada sebuah pertubuhan pengganas asing.

Dia dijadualkan dijatuhi hukuman pada 16 Disember. – BERNAMA

Artikel Lain