suria

Yusof Ghani Pelukis Malaysia Pertama Adakan Pameran Solo Di Galeri Nasional Indonesia

JAKARTA: Setelah 12 tahun menyimpan keinginan, pelukis senior Malaysia Yusof Ghani akhirnya dapat mempamerkan karyanya di Galeri Nasional di sini, sekaligus menjadi seniman pertama dari Malaysia mengadakan pamerannya di situ.

Pameran Perdana 39 karya beliau yang bertajuk "Wajah" dari 6 hingga 16 Oktober ini membuka peluang kepada peminat seni lukis di Indonesia untuk menikmatinya.

Galeri Nasional merupakan ruang pameran milik kerajaan yang menampilkan pameran bagi seniman-seniman besar dari dalam dan luar Indonesia.

Yusof berkata ilham bagi karya-karya yang dihasilkannya sejak tahun 1995 itu timbul daripada berbagai rupa wajah di banyak tempat, termasuk di Indonesia.

"Saya menyimpan keinginan mengadakan pameran di sini sejak 12 tahun lalu. Ini adalah pertama kalinya pelukis Malaysia melakukan pameran secara solo di Galeri Nasional ini," katanya.

Beliau berkata pameran itu bukan hanya tentang lukisan, tetapi juga dapat menyumbang dalam usaha merapatkan hubungan antara kedua-dua negara kerana seni merupakan bahasa sejagat yang tidak mengenal perbezaan antara manusia pencintanya.

Acara pameran beliau tergendala semalam apabila lukisan yang dikirim dari Malaysia lewat sampai ke Indonesia ekoran masalah teknikal, yang mengakibatkan beberapa beberapa lukisannya tidak dapat sampai tepat pada waktu untuk pameran itu.

Sementara itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kata-kata aluan di buku cenderamata pameran itu berkata beliau yakin karya Yusof akan membolehkan masyarakat Indonesia menikmati budaya kerja seni dari Malaysia dan membantu rakyat kedua-dua negara memahami budaya masing-masing. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain