suria

Program Malaysia Rumah Keduaku Popular Di Kalangan Warga Bangladesh

KUCHING: Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) semakin popular di kalangan warga Bangladesh kerana negara ini selamat dan bebas daripada bencana alam, kata Timbalan Menteri Pelancongan Datuk Dr James Dawos Mamit.

Beliau berkata ramai warga Bangladesh berkemampuan telah menyertai program MM2H kerana inginkan tempat tinggal yang selamat dan aman.

"Setakat ini, warga Bangladesh merupakan yang paling banyak menyertai program MM2H, diikuti warga Jepun dan Iran yang tertarik dengan keindahan dan kehijauan alam sekitarnya, serta kemesraan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas berdialog dengan pengusaha industri pelancongan di sini, Jumaat. Bagaimanapun, Dawos tidak menyatakan bilangan warga Bangladesh yang menyertai program MM2H.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian sedang mempergiatkan usaha mempromosikan sukan golf di Malaysia, termasuk menaik taraf dan menyenaraikan padang golf yang terdapat di negara ini dalam buku serta brosur pelancongan, selain laman web.

Dawos berkata sukan golf semakin mendapat sambutan di kalangan pelancong Jepun dan Korea.

"Seorang pemain golf dari luar negara sanggup menghabiskan RM1,000 sehari. Mereka berbelanja banyak," katanya.

Beliau juga berkata sejak 15 Disember 2009 hingga 15 Februari tahun ini, seramai 3,500 pemain golf Korea mengunjungi Johor semata-mata untuk bermain golf.

Sementara itu, Dawos ketika sesi dialog berkata kementerian akan memperkenalkan sistem penilaian untuk pusat spa di negara ini sebagai usaha melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

Beliau berkata pusat spa berkenaan akan dinilai antara satu hingga lima bintang berdasarkan perkhidmatan, rawatan dan harga.

"Spa semakin mendapat sambutan di kalangan pelancong. Dengan adanya sistem penilaian, pelancong boleh memilih pusat spa berdasarkan perkhidmatan yang ditawarkan dan ini akan menyumbang kepada pendapatan negara," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain