suria

Pengganas Mahu Jadikan Indonesia Seperti Iraq, Afghanistan

JAKARTA: Ketua Polis Indonesia Jendral Bambang Hendarso Danuri berkata kumpulan pengganas ingin menjadikan Indonesia seperti keadaan di Iraq, Pakistan dan Afganistan dengan melakukan aktiviti keganasan yang intensif.

Katanya mereka sedang cuba melakukan rangkaian serangan gerilya di bandar-bandar dan di hutan belantara, di samping merancang membawa mujahid dari negara-negara terbabit.

"Hasrat mereka ialah untuk mengambil alih kekuasaan negara dan menegakkan Daulah Islam," katanya pada persidangan akhbar di Jakarta, Jumaat.

Beliau berkata beberapa dokumen yang ditemui polis dan pengakuan dari beberapa suspek yang ditangkap polis mendedahkan rancangan mereka melakukan siri keganasan kegiatan, yang bermula dengan rompakan untuk membiayai operasi, membangunkan kekuatan ketenteraan melalui latihan dan membeli senjata api.

"Merompak itu dianggap halal kerana segala harta kita semua dianggap harta orang kafir," katanya.

Bambang berkata para anggota kumpulan pengganas itu sudah terlatih dengan penguasaan teknik serangan yang dilatih di Pakistan, Mindanao (Filipina), Afganistan, Aceh, Gunung Lawu (Jawa Tengah), Deli Serdang (Sumatera Utara) dan Sumedang (Jawa Barat) dengan melakukan ujian peledakan bom.

"Mereka bersedia mati syahid untuk jihad agar masuk syurga," katanya.

Menurutnya sejak tahun 2000 hingga 2010, serangan pengganas dilancarkan di 11 bandar, yang mengakibatkan 268 terbunuh termasuk 19 anggota polis, manakala lebih 200 orang tercedera.

Beliau berkata di pihak kumpulan pengganas pula, 10 orang terbunuh kerana menjadi pengebom berani mati, 44 ditembak mati dan 563 lagi sedang menjalani proses tindakan undang-undang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain